Hey, It's Me

Assalammualaikum :)

Ana, sebuah cerita ringkas untuk semua.

Sebarang kekurangan di sana sini mohon diampunkan. Saya cuma menulis mengikut apa yang terlintas, bukanlah mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka :P


Sunday 10 May 2015

Monolog Seorang Aku

Mungkin, aku terlalu berharap pada bulan dan bintang atau aku terlalu berharap pada magis yang aku sedia tahu hanyalah ilusi semata. Tapi, aku rasa tidak salah andai aku meletakkan harapan pada sesuatu – biar pun aku tahu ianya terlalu mustahil untuk terjadi.

Manusia seperti aku, terlalu sering meletakkan harapan pada setiap yang berlaku dalam hidup. Dan harapan tertinggi aku letakkan pada kau. Agar nantinya kau sedar yang ada seseorang sedang memerhatikan kau dari jauh. Hah, harapan terlalu tinggi aku kira untuk perkara sebegitu terjadi. Dan kalau pun terjadi, hanya sekadar dalam mimpi-mimpi tak berkesudahan aku.

Kenapa aku katakan ‘mimpi tidak berkesudahan’? Sebab aku terlalu takut untuk mengetahui apa kesudahan pada mimpi itu. Cukuplah sekadar di dalam mimpi itu, kau memandang aku dengan mata yang seolah tersenyum dengan lesung pipit di pipi kanan dan mata hitam pekat yang merenung dalam-dalam wajah aku. Cukuplah sekadar itu. Aku terlalu takut untuk meminta lebih.

Sepertinya, jika aku meminta lebih aku perlu memberi sesuatu sebagai balasan. Jadi, cukuplah sekadar dia didatangkan dalam mimpi tiap malam aku. Cukuplah hanya dapat memandangnya dari kejauhan – berdiri di titik yang sama, curi-curi memandang ke arahnya yang adakalanya bersama dua teman karibnya atau hanya bersendirian dengan buku yang bertukar ganti ditangan.

Jikalau aku punya sekelumit keberanian, aku berharap aku mampu untuk sekadar bertanyakan nama kau. Sudah puas aku fikirkan nama yang sesuai dengan perwatakan yang kau perlihatkan pada aku setiap hari (dibaca: yang aku perhatikan hampir setiap hari). Penat sebenarnya memuja dari jauh tapi aku manalah ada kekuatan untuk mendekati.

Pernah ada ketikanya, tanpa aku pinta, kau berdiri bersebelahan aku ketika aku sedang khusyuk membelek buku di perpustakaan. Saat kepala aku toleh, nah... kau berdiri betul-betul bersebelahan aku, membelek buku di tangan. Aku hanya mampu memandang kau untuk dua saat sebelum cepat-cepat aku berlalu pergi meninggalkan kau di situ.             

Aku tak berharap pengakhiran cerita aku ini seperti yang aku baca di dalam novel.  Sebab aku tahu, mana mungkin semua tu terjadi. Aku hanya manusia yang terus berharap pada magis. Haha. Magis? Teruskanlah bermimpi, teruskan berimaginasi, teruskan memandang dari kejauhan sana. Menangislah kau sambil peluk bantal sana. Kau ingat dengan tak berbuat apa-apa kau akan dapat apa yang kau nak?

Tapi, mana mungkin aku mampu untuk mengumpul sejuta mungkin sebillion kekuatan untuk menghampiri. Sedangkan kau berdiri bersebelahan pun aku sudah lemah lutut, apatah pula untuk membuka mulut – membuka bicara. Perkara yang sama sekali tidak akan terjadi dan kalau pun terjadi, aku rasa aku sudah gila pada ketika itu. Gila ditahap aku menolak tepi segala rasa malu yang tebal macam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sudahlah. Mungkin, aku akan terus begini untuk beberapa ketika lagi. Sampai masanya nanti, kalau kau sedar akan kewujudan aku yang sering mencuri pandang ke arahku, aku akan khabarkan pada dunia (mungkin, sekadar menulis di sini seperti sekarang) tentang bahagia yang aku rasa.

Yang terus memuja.

Aku merenung lama skrin komputer riba sambil menghela nafas panjang. Tangan kanan mencapai getah rambut berwarna hitam lalu rambut yang panjang melepasi bahu aku ikat tinggi. Aku menyandarkan tubuh ke belakang dengan kepala didongakkan merenung siling bilik.

Sampai bila aku perlu menyimpan perasaan sebegini? Sampai habis segala rasa yang sudah membukit dalam hati ni? Atau sampai aku sudah tidak mampu merasa apa-apa? Atau mungkin sampai suatu masa aku sudah jadi lali dengan perasaan yang tidak berbalas? Jangan jadi bodoh. Memuja dalam diam itu kehendak kau sedang kau punya pilihan lain.

Pilihan apa? Aku menyoal. Kadang-kadang hati tak pernahnya hendak berkerjasama dengan akal. Ada sahaja yang mahu dibidas, disangkal. Sehinggakan aku jadi tidak pasti dengan keputusan sendiri.

Pilihan kau ada tiga. Dan terpulang pada kau untuk memilih yang mana.
1. Kau berhenti memuja dari jauh. Tegur dia, paling tidak pun sekadar lemparkan senyuman pada dia.
2. Kau berhenti memuja. Berhenti terus. Tak perlu lagi menyeksa hati kau yang rapuh itu.
3. Teruskanlah memuja dari jauh. Dan jangan kau mengadu pada aku dikemudian harinya.

Tiga pilihan yang terletak pada diri kau. Untuk dipilih yang mana, aku tidak punya kuasa untuk menentukannya. Cuma, pesan aku... fikirkanlah sedalam-dalamnya. Tentang baik dan buruknya pada kau.

Sekali lagi aku menghela nafas. Lebih panjang dari sebelumnya. Pilihan pertama adalah antara yang tidak akan aku pilih. Kalau pun aku pilih pilihan yang pertama, mungkin waktu tu aku dalam keadaan separa sedar. Gila barangkali.

Pilihan kedua? Samalah macam aku cuba membuang apa-apa yang berkenaan dia dari memori, hati, hidup dan semuanya yang berkenaan. Mampukah aku? Berpura-pura tidak peduli tiap kali ternampak kelibat dia berjalan? Atau nantinya dia berdiri bersebelahan aku dalam keadaan tak terjangkakan?

Aku memejamkan mata rapat-rapat. Cuba menghadirkan imej dia diruang mata yang tertutup. Membayangkan aku sedang berdiri bertentangan dengannya, cuba untuk bersuara tapi akhirnya aku hanya mampu menelan air liur dan terus merenungnya tanpa berkelip. Lambat-lambat mata yang terpejam aku buka semula. Aku kembali dihadapkan dengan siling bilikku sendiri.

Mungkin, aku akan berterusan begini. Tanpa ada sebarang perubahan pada diri. Hanya berdiri statik di zon selamat supaya aku tidak terluka. Aku ketawa sendiri. Kelakar mengenangkan diri yang terlalu kecut.

Gegendang telinga menangkap bunyi telefon pintar yang berdering nyaring. Tangan kanan aku panjangkan untuk mencapai telefon pintar di atas meja kecil bersebelahan meja. Lama aku perhatikan telefon pintar di tangan. Nombor asing. Aku jadi teragak-agak hendak menjawab panggilan tersebut. Tapi, manalah tahu mungkin panggilan penting. Aku melarikan hujung telunjuk di atas permukaan skrin sebelum telefon pintar itu aku lekapkan ke telinga.
           
            “Assalammualaikum.” Suara dihujung talian memberi salam.

            Aku terkesima. Hampir tidak percaya. Aku menelan air liur yang terasa kesat di kerongkong. Jantung terasa hendak melompat keluar dari anak tekak. Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba meredakan detak jantung yang tak menentu sebelum salamnya aku sambut.

            “Waalaikumussalam.” Suaraku separa berbisik.