Mungkin, aku terlalu
berharap pada bulan dan bintang atau aku terlalu berharap pada magis yang aku sedia
tahu hanyalah ilusi semata. Tapi, aku rasa tidak salah andai aku meletakkan
harapan pada sesuatu – biar pun aku tahu ianya terlalu mustahil untuk terjadi.
Manusia seperti aku, terlalu
sering meletakkan harapan pada setiap yang berlaku dalam hidup. Dan harapan
tertinggi aku letakkan pada kau. Agar nantinya kau sedar yang ada seseorang
sedang memerhatikan kau dari jauh. Hah, harapan terlalu tinggi aku kira untuk
perkara sebegitu terjadi. Dan kalau pun terjadi, hanya sekadar dalam
mimpi-mimpi tak berkesudahan aku.
Kenapa aku katakan
‘mimpi tidak berkesudahan’? Sebab aku terlalu takut untuk mengetahui apa
kesudahan pada mimpi itu. Cukuplah sekadar di dalam mimpi itu, kau memandang
aku dengan mata yang seolah tersenyum dengan lesung pipit di pipi kanan dan
mata hitam pekat yang merenung dalam-dalam wajah aku. Cukuplah sekadar itu. Aku
terlalu takut untuk meminta lebih.
Sepertinya, jika aku
meminta lebih aku perlu memberi sesuatu sebagai balasan. Jadi, cukuplah sekadar
dia didatangkan dalam mimpi tiap malam aku. Cukuplah hanya dapat memandangnya
dari kejauhan – berdiri di titik yang sama, curi-curi memandang ke arahnya yang
adakalanya bersama dua teman karibnya atau hanya bersendirian dengan buku yang
bertukar ganti ditangan.
Jikalau aku punya
sekelumit keberanian, aku berharap aku mampu untuk sekadar bertanyakan nama
kau. Sudah puas aku fikirkan nama yang sesuai dengan perwatakan yang kau
perlihatkan pada aku setiap hari (dibaca: yang aku perhatikan hampir setiap
hari). Penat sebenarnya memuja dari jauh tapi aku manalah ada kekuatan untuk
mendekati.
Pernah ada ketikanya,
tanpa aku pinta, kau berdiri bersebelahan aku ketika aku sedang khusyuk
membelek buku di perpustakaan. Saat kepala aku toleh, nah... kau berdiri
betul-betul bersebelahan aku, membelek buku di tangan. Aku hanya mampu
memandang kau untuk dua saat sebelum cepat-cepat aku berlalu pergi meninggalkan
kau di situ.
Aku tak berharap
pengakhiran cerita aku ini seperti yang aku baca di dalam novel. Sebab aku tahu, mana mungkin semua tu
terjadi. Aku hanya manusia yang terus berharap pada magis. Haha. Magis?
Teruskanlah bermimpi, teruskan berimaginasi, teruskan memandang dari kejauhan
sana. Menangislah kau sambil peluk bantal sana. Kau ingat dengan tak berbuat
apa-apa kau akan dapat apa yang kau nak?
Tapi, mana mungkin aku
mampu untuk mengumpul sejuta mungkin sebillion kekuatan untuk menghampiri.
Sedangkan kau berdiri bersebelahan pun aku sudah lemah lutut, apatah pula untuk
membuka mulut – membuka bicara. Perkara yang sama sekali tidak akan terjadi dan
kalau pun terjadi, aku rasa aku sudah gila pada ketika itu. Gila ditahap aku
menolak tepi segala rasa malu yang tebal macam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sudahlah. Mungkin, aku
akan terus begini untuk beberapa ketika lagi. Sampai masanya nanti, kalau kau
sedar akan kewujudan aku yang sering mencuri pandang ke arahku, aku akan
khabarkan pada dunia (mungkin, sekadar menulis di sini seperti sekarang)
tentang bahagia yang aku rasa.
Yang terus memuja.
Aku
merenung lama skrin komputer riba sambil menghela nafas panjang. Tangan kanan
mencapai getah rambut berwarna hitam lalu rambut yang panjang melepasi bahu aku
ikat tinggi. Aku menyandarkan tubuh ke belakang dengan kepala didongakkan
merenung siling bilik.
Sampai
bila aku perlu menyimpan perasaan sebegini? Sampai habis segala rasa yang sudah
membukit dalam hati ni? Atau sampai aku sudah tidak mampu merasa apa-apa? Atau
mungkin sampai suatu masa aku sudah jadi lali dengan perasaan yang tidak
berbalas? Jangan jadi bodoh. Memuja dalam diam itu kehendak kau sedang kau
punya pilihan lain.
Pilihan
apa? Aku menyoal. Kadang-kadang hati tak pernahnya hendak berkerjasama dengan
akal. Ada sahaja yang mahu dibidas, disangkal. Sehinggakan aku jadi tidak pasti
dengan keputusan sendiri.
Pilihan
kau ada tiga. Dan terpulang pada kau untuk memilih yang mana.
1.
Kau berhenti memuja dari jauh. Tegur dia, paling tidak pun sekadar lemparkan
senyuman pada dia.
2.
Kau berhenti memuja. Berhenti terus. Tak perlu lagi menyeksa hati kau yang
rapuh itu.
3.
Teruskanlah memuja dari jauh. Dan jangan kau mengadu pada aku dikemudian
harinya.
Tiga
pilihan yang terletak pada diri kau. Untuk dipilih yang mana, aku tidak punya
kuasa untuk menentukannya. Cuma, pesan aku... fikirkanlah sedalam-dalamnya.
Tentang baik dan buruknya pada kau.
Sekali
lagi aku menghela nafas. Lebih panjang dari sebelumnya. Pilihan pertama adalah
antara yang tidak akan aku pilih. Kalau pun aku pilih pilihan yang pertama,
mungkin waktu tu aku dalam keadaan separa sedar. Gila barangkali.
Pilihan
kedua? Samalah macam aku cuba membuang apa-apa yang berkenaan dia dari memori,
hati, hidup dan semuanya yang berkenaan. Mampukah aku? Berpura-pura tidak
peduli tiap kali ternampak kelibat dia berjalan? Atau nantinya dia berdiri
bersebelahan aku dalam keadaan tak terjangkakan?
Aku
memejamkan mata rapat-rapat. Cuba menghadirkan imej dia diruang mata yang
tertutup. Membayangkan aku sedang berdiri bertentangan dengannya, cuba untuk
bersuara tapi akhirnya aku hanya mampu menelan air liur dan terus merenungnya
tanpa berkelip. Lambat-lambat mata yang terpejam aku buka semula. Aku kembali
dihadapkan dengan siling bilikku sendiri.
Mungkin,
aku akan berterusan begini. Tanpa ada sebarang perubahan pada diri. Hanya
berdiri statik di zon selamat supaya aku tidak terluka. Aku ketawa sendiri.
Kelakar mengenangkan diri yang terlalu kecut.
Gegendang
telinga menangkap bunyi telefon pintar yang berdering nyaring. Tangan kanan aku
panjangkan untuk mencapai telefon pintar di atas meja kecil bersebelahan meja.
Lama aku perhatikan telefon pintar di tangan. Nombor asing. Aku jadi
teragak-agak hendak menjawab panggilan tersebut. Tapi, manalah tahu mungkin
panggilan penting. Aku melarikan hujung telunjuk di atas permukaan skrin
sebelum telefon pintar itu aku lekapkan ke telinga.
“Assalammualaikum.” Suara dihujung
talian memberi salam.
Aku terkesima. Hampir tidak percaya.
Aku menelan air liur yang terasa kesat di kerongkong. Jantung terasa hendak
melompat keluar dari anak tekak. Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba meredakan
detak jantung yang tak menentu sebelum salamnya aku sambut.
“Waalaikumussalam.” Suaraku separa
berbisik.