Hey, It's Me

Assalammualaikum :)

Ana, sebuah cerita ringkas untuk semua.

Sebarang kekurangan di sana sini mohon diampunkan. Saya cuma menulis mengikut apa yang terlintas, bukanlah mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka :P


Saturday 8 February 2014

Terbang

Adam memandang ke tengah padang yang penuh dengan kanak-kanak dalam lingkungan umur 11-15 tahun yang sedang bermain bola. Hujung jarinya memetik tali gitar di atas riba memainkan entah melodi apa. Sesekali bibir menarik senyum segaris. Ah, seronoknya jadi kanak-kanak. Tak ada masalah nak difikirkan, diserabutkan kepala otak.

Di sebelah kanan padang itu ada van putih. Dan di sebelah van putih itu ada dua pasangan tua – yang si isteri sedang menggoreng pisang (mungkin. Tak nampak pun dari tempatnya duduk) dan yang si suami sedang menyusun bekas-bekas kuih untuk dijual. Rasanya usai budak-budak ni main bola memang pakat-pakat serbu van putih tu. Yelah, confirm masing-masing dahaga campur lapar lepas dah sakan main bola tak ingat dunia.

“Menung apa, bro?” Tegur Rizal yang muncul entah dari mana. Adam berpaling dari kanak-kanak yang sedang sakan menyepak bola ke wajah Rizal yang sudah pun mengambil tempat bersebelahannya. Senyum nipis ditarik melepasi bibir.

Adam menjongketkan bahunya. “Takde apa. Kau dari mana?” Adam memandang Rizal atas bawah. Rizal hanya bert-shirt kelabu dengan seluar pendek melepasi lutut berwarna hitam. Dikakinya tersarung selipar jepun yang baru dibeli dua hari lepas. Sempoi habis. Rambut pun takat selak sikit-sikit dengan jari kasi nampak kemas. Tapi tu pun nampak serabai jugak.

“Dari rumah Arep. Kau kenapa tiba-tiba ajak lepak?” Rizal sudah pun melunjurkan kakinya di atas padang rumput itu. Fokusnya tika itu pada kanak-kanak di tengah padang yang sedang sakan berebutkan bola yang satu tu.

“Saja. Bosan kat rumah.” Adam membalas ringkas. Pandangannya sudah pun dialihkan dari Rizal ke tengah padang. Tangan kanan menongkat dagu. Matanya bergerak mengikut arah bola itu dibawa. Bibir menarik senyum segaris. “Seronok jadi dorang.” Tiba-tiba Adam bersuara. Random.

Rizal angkat kening. Pelik dengan statement yang baru je keluar dari mulut Adam. Yelah, Adam ni jarang nak cakap benda-benda random macam tu. “Sebab?”
           
“Tak ke dorang nampak macam bebas? Tak ada benda nak difikirkan, nak diserabutkan. Lepak je. Have fun. Gelak-gelak macam tu.” Komen Adam. Yelah, aku yang tengok ni pun rasa lepak-tenang je. Gaya macam free habis-habisan. Agaknya dorang mesti fikir main je kan?

Ala, Adam. Gaya macam tak pernah merasa jadi budak-budak je. Kau lupa ke yang kau pernah jatuh dari pokok mangga Pak Tam jiran sebelah rumah kau tu? Patah tangan, bersimen tu semua. Kau lupa? Adam garu kepala. Cis, boleh pulak teringat benda tu. Tapi…pedulilah semua tu! Sekarang ni aku dah tak mampu nak rasa macam dulu. Bebas!

“Bebas?” Berkerut-kerut dahi Rizal dibuatnya. Apa ke pelik si Adam hari ni? Dia ni kalau cakap tak random macam tu tak boleh agaknya?

Gitar di atas riba sudah pun dibaringkan di atas rumput bersebelahannya. Kedua-dua belah tangannya dipanjangkan ke atas. Pada langit. Kelopak matanya dipicingkan dek sinar matahari yang terasa pedih. Memandang terus langit biru di atas mereka.

“Kau tak terasa nak tau apa ada disebalik awan tu?” Adam ketawa sendiri. Ah, entah-entah aku je yang curious terlebih nak tau apa ada disebalik awan tu. Yang sibuk nak pegang awan yang nampak gebu di atas langit tu. Tapi, takkan tak ada sorang pun manusia yang teringin nak tau macam aku? Ke memang aku sorang je aneh terlebih gini?

Rizal mendongakkan kepalanya ke atas. Memandang langit. Kepulan-kepulan awan putih menyapa pandangan. “Adalah jugak.” Balasnya rendah.

Refleks Adam berpaling memandang Rizal di sebelahnya. Eh? Kira bukan aku jelah yang ada keinginan macam tu? Heh. “Cuba bayangkan kita ada sayap.” Adam menyebak juntaian rambut ke belakang.

Rizal sengih. “Terbang?” Cuba meneka apa yang hendak diberitahu oleh Adam. Bukannya baru semalam Adam ni dikenalinya. Dah nak masuk tujuh tahun pun. Setiap apa yang difikirkan Adam macam dah boleh diagak tanpa perlu disambung lebih-lebih.
           
Kepala dianggukkan. “Yup. Terbang.”

Rizal menarik nafas dalam. Perlahan-lahan kelopak mata dikatup sebelum dibuka semula. Masih memandang langit biru dengan kepulan awan putih di atas mereka. “Tapi, kalau kita terbang terlalu tinggi bila jatuh sakit dan nak pulih dari sakit bukannya senang.” Ekor matanya melirik Adam di sebelah. Menyatakan fakta.

“Aku tau. Tapi, apa salahnya terbang? Rasa bebas.”

“Tak selamanya kita akan bebas dengan terbang.” Monotoni.

Adam sudah pun mengalihkan pandangannya dari langit biru pada Rizal yang masih mendongak ke atas dengan dahi berkerut. Muka tak puas hati. “Sebab?” Soalnya memohon jawapan.

“Cuba kau bayangkan diri kau burung.”

Adam menganggukkan kepalanya. Menanti butir bicara seterusnya dari mulut Rizal. Ah, tak de kerja sangat agaknya aku dengan dia bercerita soal random macam ni.

“Burung terbang tinggi. Tapi, ada masanya dia akan jatuh. Mungkin sebab sayap dia patah atau dia kena tembak dengan pemburu. Kesudahan yang sedih. Tak ke?” Rizal sudah pun kembali fokus pada kanak-kanak yang sedang sakan bergelak-berteriak di tengah padang. “Kau cakap seronok jadi dorang kan?”

Angguk lagi. Fokus Adam turut sama pada padang yang penuh dengan budak-budak yang masih sakan menyepak bola yang satu itu.

Rizal senyum segaris. “Kita pun pernah go through fasa tu. Fasa kita tak fikir apa-apa. Enjoy, have fun. Langsung tak peduli orang sekeliling. Dan dari fasa tu kita jadi manusia, dewasa yang dipaksa berfikir, serabutkan kepala otak. Sebab itu memang cycle hidup kita.” Rizal diam. Tangan kanan menyebak rambutnya ke belakang.

Sesekali dia melirik Adam yang sedang menunggu butir kata seterusnya. Bibir masih dengan senyuman yang sama. “Dan budak-budak tu nanti akan terpaksa go through fasa kita pulak. Terpaksa walaupun mereka tak nak. Yang terpaksa menyerabutkan kepala otak dengan masalah yang tak pernah habis. Dan akan ada masa kita bertindak melarikan diri daripada masalah sebab malas nak fikir dah.”

Hujung ibu jari dan jari telunjuk memicit pangkal hidung. “Ada masanya aku berharap ada button delete yang akan delete semua masalah aku. Masalah yang aku malas nak ambil tahu. Masalah yang aku malas gila nak deal.” Ayatnya mati di situ. Nafas ditarik. Panjang. “Tapi, selama mana aku nak lari dari masalah? Nak tak nak aku akan terpaksa deal jugak dengan masalah yang sama.”

Adam diam tidak bersuara. Berfikir.

Rizal menarik nafas lagi. Lebih dalam. Otak cuba mencari butir kata seterusnya. “Cuba kau tengok gitar kau.” Hujung jari telunjuk menuding ke arah gitar yang elok terbaring di atas rumput bersebelahan Adam. “Kau bukannya terus boleh main gitar kan? Kau belajar, kan?” Soal Rizal dengan kening terjongket.

Kepala diangguk. Fokusnya pada gitar kesayangan. Gitar yang dibeli setahun yang lepas. Gitar yang sentiasa menjadi peneman waktu sedih, gembira, jatuh dan bangunnya. Gitar yang tak pernah jauh darinya. Sentiasa ada.

“Macam tu jugak hidup kita. Kita belajar. Dari setiap kesilapan dan kesusahan yang kita kena hadapi. Sama macam gitar tu. Kau belajar, kau gagal. Dan kau belajar lagi sampailah  kau dah boleh petik gitar tu main macam-macam lagu.” Rizal senyum. “Dan jadi pemain gitar kegemaran aku.” Tambah Rizal.

Adam ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Banyaklah kau punya gitar kegemaran. Bab nak membodek memang juara!

Rizal sengih. Ekor matanya masih pada Adam. “Dan kau yakin ke dengan kau terbang bebas tu kau akan selamanya bebas? Takkan ada masalah yang turut sama kejar kau? Dan kau yakin ke terbang bebas tu yang kau nak sebenarnya?”

“Maksud kau?”

Kaki yang dilunjurkan tadi sudah pun ditarik membentuk sila. Tangan kanan menongkat dagu memandang Adam. “Selama mana kau nak bebas?” Tangan kiri menyebak rambut yang menutupi dahi. “Dan cuba kau define bebas yang kau faham.”

“Definisi bebas aku tak sama dengan kau.” Rendah nada suara Adam membalas soalan Rizal. Ya, mana mungkin definisi bebas tu sama dari seorang ke seorang yang lain. Masing-masing punya pendapat sendiri, keinginan sendiri. Dan pastinya definisi bebas-terbang itu juga lain. Ah, manusia! Mana ada yang sama. Even kembar sendiri pun berbeza dari segi personaliti, pemikiran dan macam-macam lagi.

Rizal petik jari. “Exactly. Definisi terbang dan bebas kita berbeza tapi tetap dalam lingkungan yang sama. Tak ke? Macam kau, nak bebas dari masalah. Macam aku, aku pun nak bebas dari masalah cumanya aku tau kita takkan selamanya boleh lari dari masalah. Bebas tak ada definisi khusus.”

Adam menjongketkan bahu. Rizal senyum segaris. “Kau ada masalah dengan Ana ke?”
                       
Berkerut dahi Adam mendengarkan soalan Rizal. “Kenapa tiba-tiba tanya pasal Ana?” Ish, dia ni. Yang tiba-tiba masuk fasal Ana dah kenapa? Aku dengan Ana punyalah elok tak de masalah apa-apa.

Sengih. “Entah. Saja nak tanya.” Nafas ditarik dalam-dalam. Kedua-dua belah tangan didepakan ke depan. Matanya bergerak mengikut arah pergerakan bola yang sedang disepak budak-budak ditengah padang. “Kau okay?” Nada concern.

Adam menganggukkan kepalanya. “Okay. Tapi, ada masa aku rasa hidup aku serabut sangat.” Luah Adam lemah. Terlalu penat dengan segala masalah. Terlalu letih dengan hidup yang banyak sangat persoalan tak terjawab.

“Hidup kita serabut sebab kita yang serabutkan. Allah tak akan menyusahkan hamba-NYA. Ingat tu.” Lembut kata-kata itu menyinggah gegendang telinga Adam. Dalam diam dia mengiakan. Benarlah kata Rizal. Masalah itu datangnya dari diri sendiri. Dan serabut-serabai tu sebab kita yang tak habis-habis nak lari dari masalah.

Masalah takkan pernah habis, takkan pernah selesai kalau kita asyik nak lari je. Terus menafikan apa yang dah ada depan mata. Terus menidakkan apa yang dah dihadapkan. Lari dan terus lari. Sampai bila? Sampai kaki dah tak mampu nak bergerak melangkah? Atau sampai diri terus terbeban dengan masalah yang datang bertubi-tubi menghempap diri? No!

“Bro.”

“Hm?”
           
Thanks sebab jadi kawan aku.” 

Rizal menggelengkan kepalanya. Bibir menarik senyum nipis. “Thanks jugak kat kau sebab nak berkawan dengan aku.” Balas Rizal. “Setiap pertemuan dan perpisahan tu ada sebab yang kita tak tau. Sebab pertemuan dan perpisahan tu rahsia DIA. Dan aku bersyukur dipertemukan dengan kau.”

“Nanti kalau aku mampu terbang tinggi aku ajak kau sekali.”

Rizal pandang Adam dengan muka kelam.

Adam tayang gigi. “Terbang mencari reda Allah.”

Dan dua pasang anak mata memandang terus ke tengah padang. Melihat kanak-kanak yang sedang sakan menyepak bola hitam-putih itu. Bibir mengukir senyum. Terbang. Bebas. Bukan bebas dalam erti bebas tanpa batas. Terbang bebas mencari ketenangan diri. Terbang bebas mencari reda Allah.


           


            

No comments:

Post a Comment