Hey, It's Me

Assalammualaikum :)

Ana, sebuah cerita ringkas untuk semua.

Sebarang kekurangan di sana sini mohon diampunkan. Saya cuma menulis mengikut apa yang terlintas, bukanlah mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka :P


Monday, 13 May 2013

Diari Buat Razz [4]


4

Pada siapa untuk aku mengadu nasib kalau bukan pada kertas bisu bersama pena –
Farha Alisa

Dia menyandarkan tubuhnya ke belakang. Rambutnya yang panjang melepasi bahu disepit dengan penyepit rambut berwarna pink. Hujung pen mengetuk-ngetuk permukaan meja sambil otak ligat merangka ayat. Kaki sudah pun menarik sila di atas kerusi itu. Lama dia merenung muka surat kosong buku nota berwarna biru tua itu.
                
Aduh, nak tulis apa? Apa gaya macam nak tulis surat cinta ni, Farha Alisa. Kau tu nak tulis diari je. Dia mula menggigit hujung pun. Perlahan-lahan tangan mula menulis sesuatu di atasnya. Dan tanpa sedar ada senyuman meniti dibibirnya.

                Kepada awak yang duduk selang dua meja,
               
Mungkin awak tak perasan akan kewujudan saya (atau awak perasan tapi saja buat-buat tak perasan) tapi saya selalu perhatikan awak. Ada banyak benda yang saya nak tanya tapi entah bila soalan ni bakal saya tanyakan kat awak. Saya segan nak tegur. Saya bukannya peramah. Ni senarai soalan saya :

1.       Awak memang suka warna hitam ke?
2.       Awak takde seluar jeans lain ke?
3.       Awak study apa sampai berkerut-kerut dahi?
4.       Kenapa awak suka buat aksi pelik-pelik?
5.       APA NAMA AWAK?

                Itu adalah senarai soalan saya. Agak-agak bila saya ada keberanian nak tegur awak?
                               
                Oh, anyway. Awak nampak lagi erm handsome (kot?) bila pakai specs tu. Hahaha.

Pen diletakkan di atas muka surat yang sudah bertulis. Kepala didongakkan menengadah siling bilik. Memerhatikan bilah-bilah kipas yang ligat berpusing. Kemudian, pandangannya jatuh pada patung Pooh pemberian arwah mama semasa hari jadinya yang kesepuluh. Farha ketawa kecil. Mama memang suka memanjakan dirinya.
                
Bingkai gambar yang diletakkan di atas meja studi dicapai dan lama gambar di dalam bingkai gambar itu diamati. Wajah ceria mama dan papa sedang memegang tangannya kiri dan kanan. Kepalanya dilentokkan di atas lutut. Pandangannya masih pada bingkai gambar ditangan. Tak semena-mena air mata mengalir membasahi pipi. Laju air mata itu diseka dengan telapak tangan. Cengeng.
                
Bingkai gambar diletakkan semula di atas meja studi. Dia turun dari kerusi. Mengatur langkah menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Rasanya daripada dia berterusan menangis dan bersedih adalah baiknya dia hadiahkan bacaan Yassin buat arwah mama.



“EJA, kau dengan kakak tiri kau apa cerita?” Rasya menolak gelas yang sudah kosong ke tengah meja. Wajah Eja yang tidak beriak ditenung lama. Menantikan jawapan. Tika itu mereka sedang duduk melepak di kedai mamak berhampiran rumah Eja.
                
Eja mencebik. “Macam tulah.” Anak rambut yang berjuntaian di dahi ditolak kasar. Geram. “Aku rasa nak tumbuk je muka dia tu.” Luah Eja dengan bibir terherot-herot. Melampiaskan rasa marahnya pada Rasya. Rasya hanya menyengih.
                
“Dia buat apa je kat kau?”
                
“Sebab dia tak buat apa-apalah aku bengang. Geram.” Dagu sudah pun bertongkat dengan tangan kanan. “Kau kena tengok muka dia, Sya. Sakit hati aku.” Eja masih lagi tak sudah dengan ketidakpuasan hatinya itu. Membayangkan wajah Farha je, sudah cukup untuk membuatkan darahnya mendidih.
                
“Lah, okay la dia tak buat apa-apa. Chill ah.”
                
“Kau tak fahamlah, Sya. Aku sakit hati.”
                
“Apa yang kau sakit hati sangat tu?”
                
Eja menghela nafas panjang. Gelas berisi teh o’ ais dicapai dengan tangan kiri. Straw disisip ke bibir sebelum perlahan-lahan dia menyedut air di dalamnya. Gelas ditolak ke tepi. “Dia macam buat hal sendiri. Tak bercakap. Kalau cakap pun sepatah sepatah. Macam orang tak de perasaan. Macam robot.” Pandangannya sudah menala isi kedai mamak itu. Ramai orang.
               
“Dia tak bercakap dengan kau?”
                
Geleng. “Macam aku tak wujud.” Jeda. “Aku jeling pun dia macam tak heran.”
                
Rasya ketawa kecil. “Kau nak apa sebenarnya, Eja?”
                
“Kau pun tau aku tak de kakak, abang, adik tu semua. So, bila ada dia as kakak tiri aku, aku nak la rasa macam ada kakak. Ni tak. Serupalah mama aku tak kahwin lain.”
                
“Suruh mama kau buat anak la.”
                
Eja menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Bercakap dengan Rasya ni memang memerlukan seribu satu kesabaran sungguh. Tak pernahnya nak serius. “Mama aku tu bukan muda lagi tau.” Balas Eja. Sinis. Kalau yang ini pun si Rasya tak faham apa yang dia cuba sampaikan ada juga dia cakap kerusi hentak kat kepala kawannya itu.
                
Complicated sangatlah kau ni. Cakap jelah kat kakak tiri kau tu yang kau nak jadi macam kakak-adik semua.”
                
Tegak terus tubuh Eja mendengarkan ayat Rasya. Wajah kawannya itu dipandang dengan riak tak percaya. Dahinya ditepuk perlahan. “Ha.Ha.Ha. Kau buat lawak ke, Sya? Aku terlupa nak gelak.” Sarkastik Eja bersuara. Macamlah Rasya tak tau yang dia tak reti nak luahkan perasaan. Nak confront dengan kakak tirinya itu? Luar alam!
                
“Aku rasa cara aku tu kira logiklah.”
                
“Tak!” Laju Eja membidas. Tak logik langsung-langsung.
                
Rasya memanjangkan tangannya mencapai gelas teh o’ ais Eja. Straw di dalam gelas dipusing-pusingkan sebelum straw disisip ke bibir. Eja hanya memerhati. “Kalau kau tak cakap, macam mana kakak tiri kau nak tau?”
                
“Masalahnya, Sya. Aku tak reti.”
                
“Tak reti la kena retikan.”
                
Eja dah rasa nak hentak kepala ke meja. Berselirat sudah segala wayar-wayar dalam kepala otaknya memikirkan cadangan si Rasya yang baginya langsung tak masuk akal. Seorang Ashfa’ Syahirah nak memulakan langkah pertama? Macam terpaksa tunggu lagi 700 tahun je. Mustahil!
                
“Lagipun, kau dengan kakak tiri kau tu perangai dua kali lima je. Spesies pelik.” Selamba je Rasya mengutuk kawannya itu. Lagipun, tak boleh nak kira kutuk pun sebab benda tu hakikat. Benda betul.
                
“Kenapa aku?”
                
“Sebab kau adik dan kau yang masuk dalam hidup dia. Jadi, kaulah kena mulakan langkah.” Rasya angkat-angkat kening dengan senyuman nipis dibibir. Eja menggaru-garu kepala yang tak gatal. Cuba mencari rasional dan waras disebalik kata-kata Rasya.
                
Kalau nak diikutkan ada betulnya juga. Dia dan mamanya yang melangkah masuk ke dalam keluarga Farha Alisa dan papanya itu. Menjadi sebahagian keluarga Encik Hakim. Menumpang kasih seorang bapa dari Encik Hakim, papa Farha Alisa. Jadi, patutlah untuk dia beralah, kan?
                
Eja memandang Rasya yang masih dengan senyuman. Menunggu resolusinya mungkin. Ah, poyonya nak berresolusi bagai. Bukannya kau nak pergi berperang pun. Tapi, berperang dengan pegangan sendiri pun perlukan resolusi. Eja menyebak rambut ke belakang.
                
Bibirnya diketap kuat. “Yelah. Nanti aku fikirkan.”
                
Rasya masih dengan senyuman. Lebih lebar.  



EJA menolak pintu kayu rumah dari arah luar sesudah dia memberi salam. Salamnya bersahut. Perlahan. Di ruang tamu, Farha sedang duduk bersila di atas sofa memeluk bantal berbentuk empat segi. Langsung tidak menoleh ke arahnya yang baru melangkah masuk ke rumah. Memandang terus ke skrin televisyen seperti tidak sedar akan kehadirannya. Eja mengeluh kecil.
                
Lama dia berdiri terpacak di situ. Berkira-kira untuk duduk di sebelah Farha melaksanakan cadangan Rasya atau terus naik ke biliknya. Dia menggaru-garu kepala yang tak gatal. Aduh, susahnyalah situasi aku sekarang ni. Air liur ditelan. Jantung macam nak tercabut. Tak pernah dia buat kerja gila macam ni.
                
Langkah diatur lambat-lambat menghampiri sofa berwarna biru gelap. Punggung dihenyakkan di sebelah Farha yang langsung tak beralih pandang ke arahnya. Terus memandang skrin televisyen. Dia berdehem. Cuba mencuri sikit perhatian Farha.
                
Farha berpaling ke arah Eja dengan kening terangkat. Eja sengih. “Er, tengok cerita apa?” Hampir-hampir tidak terkeluar suaranya dari kotak suara. Biar pun pendingin hawa terpasang, entah kenapa tubuhnya berpeluh-peluh. Parah sungguh.
                
Bahu dijongket. “Entah.” Anak mata kembali pada skrin televisyen.
                
Eja dah mati ayat. Tak tau nak cakap apa lagi. Dengan layanan Farha yang dingin macam tak mahu ada sesiapa masuk sempadan hidupnya tu membuatkan dia jadi patah semangat. Kalah sebelum berperang. Eja menekur jari kakinya. “Kak Al marah Eja dengan mama ke?”
                
Laju kepalanya berpusing memandang Eja di sebelah. Kak Al? Dia panggil aku kakak? Seriuslah? Ke telinga aku saja nak kenakan aku? Aku tak salah dengarkan? “Kenapa nak kena marah?” Balas Farha tenang.
                
“Sebab Eja dengan mama masuk dalam hidup kak Al dengan papa.” Hujung jari menguis-nguis sofa yang didudukinya. Dia jadi takut hendak angkat muka memandang Farha tika itu. Takut hendak melihat riak wajah kakak tirinya. “Eja tau kak Al sayang mama kak Al. Mesti kak Al tak nak ada orang ganti tempat dia, kan?”
                
Farha mencapai alat kawalan jauh dan terus menekan butang off. Ruang tamu yang tadinya bising dengan suara pelakon dari televisyen kini senyap-sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas berpusing ligat di siling.
                
“Kenapa tiba-tiba tanya?”
                
“Sebab…kak Al macam cuba nak jauhkan diri dari Eja dengan mama.”
                
“Perasaan Eja je.”
                
Eja menarik senyum. Tawar. “Masa mama kata mama nak kahwin dengan papa, Eja happy sangat sebab mama kata papa ada anak perempuan. Tua dua tahun dari Eja.” Kaki yang dilunjurkan digerakkan ke depan dan ke belakang. “Eja teringin nak ada kakak.”
                
Farha diam. Tidak menyampuk. Membiarkan Eja meluahkan apa yang dirasakan. Sesekali dia melirik Eja yang tunduk menekur hujung jarinya. Bila diperhatikan Eja mempunyai rupa paras yang cantik. Macam mama tirinya itu.
                
“Eja cemburu dengan kawan-kawan yang ada kakak. Ada abang, ada adik. Eja anak tunggal. Jadi, bila mama kahwin dengan papa Eja…” Dia menggigit bibirnya. Tidak menghabiskan ayatnya. Membiarkan ayat itu tergantung.
                
Farha menyandarkan tubuhnya ke belakang. “Eja nak jadi adik kak Al? Macam tu?” Soal Farha sambil melirik Eja melalui ekor matanya. Terasa pelik lidahnya apabila membahasakan dirinya ‘kak Al’.
                
Lambat-lambat Eja menganggukkan kepalanya. Muka terasa berbahang. Panas. Merah. Terasa mahu sahaja dibenamkan muka ke dalam tanah. Dia terus-terusan tunduk menekur hujung jari. Terlalu segan untuk mengangkat muka memandang wajah Farha.
                
“Eja nak ke kakak macam kak Al?”
                
Automatik dia mengangkat muka merenung tajam wajah Farha yang langsung tidak beriak. “Kenapa kak Al cakap macam tu?”
                
Tangan kanan menongkat dagu. “Sebab kak Al pelik. Nak ke kakak yang pelik?” Soal Farha dengan nada beku. Yelah, siapa je yang sanggup nak ada kakak macam dia? Jangan kata kakak, adik pun rasanya orang tak sudi.
                
Eja memeluk tubuhnya dengan bibir dicebikkan. “Siapa kata kak Al pelik? Kak Al tak pelik. Err, mungkinlah juga sebab kak Al macam lagi suka sorang-sorang.”
                
Terletus ketawa kecil dari celah bibirnya. Anak matanya masih pada Eja. “Nak juga ada kakak macam kak Al?” Sengaja dia menyoal sebegitu dengan kening terjongket. Masanya untuk memprovokasi.
                
“Apa kak Al ni?” Berkerut-kerut dahi Eja jadinya.
                
“Apa?”
                
“Kak Al tak nak jadi kakak Eja ke?”
                
Farha senyum nipis. Tangannya dipanjangkan untuk mengusap rambut Eja. “Dah, pergi tidur. Esok sekolah, kan?” Dia bingkas bangun dari duduknya. “Kak Al naik dulu.” Sambung Farha dan terus mengatur langkah ke tingkat atas. Membiarkan soalan Eja tidak berjawab. Eja menghela nafas panjang. Kenapa hati kak Al keras sangat? Bisiknya di dalam hati. 


2 comments:

  1. kak al jangan la buat Eja cenggitu. :)

    ReplyDelete
  2. Ego bebeno. Ni yg buat aku geram nieh

    ReplyDelete