Hey, It's Me

Assalammualaikum :)

Ana, sebuah cerita ringkas untuk semua.

Sebarang kekurangan di sana sini mohon diampunkan. Saya cuma menulis mengikut apa yang terlintas, bukanlah mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka :P


Thursday 16 May 2013

Diari Buat Razz [6]


6

Dia mungkin kerek tapi ada sesuatu yang membuatkan
aku tertarik padanya – Razzen Syah

Razz mengenyeh-genyeh matanya yang terasa pedih. Cahaya matahari yang masuk dari celah-celah langsir yang tidak ditarik malam tadi menyilaukan pandangannya yang baru bangun. Jam yang tergantung di dinding dipandang sekilas. 11.50 pagi. Dia menggeliat malas meregangkan segala otot. Tangan mencapai Xperia Z bersebelahan bantal. Skrin diperhati dua-tiga saat sebelum telefon bimbit diletakkan semula di tempatnya.
                
Malas-malas dia turun dari katil. Langkah kaki dibawa menghampiri pintu dan terus tombol pintu dipulas. Kaki dibawa pula menuruni tangga dan terus menuju ke dapur. Sesekali dia memanjangkan lehernya mencari umi. Tiada. Hujung jari menggaru-garu pangkal tengkuk.
                
Peti ais dibuka. Tangan mencapai kotak susu Dutch Lady. Kemudian, dia mencapai pula gelas yang tersusun elok bersebelahan sinki. Isi di dalam kotak susu ditangan dituang ke dalam gelas. Punggung sudah pun dilabuhkan di atas kerusi. Perlahan-lahan susu yang sudah dituang diteguk. Nikmat!
                
Teruknya Razz. Dengan tak gosok giginya kau terus minum susu. Ish ish ish. Hujung jari menggaru-garu pelipis kanan. Matanya masih belum terbuka luas. Kuyu. Ada potensi untuk dia sambung tidur semula dek semalaman berjaga menyiapkan assignments. Balik rumah kena menghadap assignments adalah tidak cool. Tapi, nak buat macam mana?
               
Terus dia melentokkan kepalanya di atas meja di dapur beralaskan lengan. Mengantuknya! Kalau tidur kat sini dua minit aci tak? Malas nak naik bilik. Manalah tahu kot-kot tidur kat dapur si tocang kuda tu boleh masuk dalam mimpi ke? Hahaha. Eh, tocang kuda Razz? Dia ada nama oi. Farha Alisa, Al. Razz sengih dibawah sedar. Perlahan-lahan dia menutup matanya. Selamat malam…
                
“Ya Allah! Razzen Syah. Apa tidur kat dapur ni?”
                
Suara umi menyapa gegendang telinga. Ala, umi ni. Dia merengus perlahan. Kacaulah umi. “Kejap je, mi. Mengantuk.” Gumamnya rendah dalam keadaan separuh mamai. Nak buka mata pun tak mampu. Baru je nak mimpikan si Al tu. Nak naik atas memang kaki dah tak mampu nak berjalan. Ada juga yang terpaksa mengengsot nanti.
                
“Pi naik atas. Tidur kat bilik. Apa teruk sangat tidur kat dapur ni?” Barang-barang keperluan dapur yang dibeli umi diletakkan di atas meja. Razz angkat kepala dua saat sebelum kembali melentokkannya di atas lengan. Parah sangat dah ni. Nak angkat kepala pun macam tak mampu.
                
“Kejap je umi. Dua minit.”
                
“Umi kata naik, naiklah. Jangan degil Razzen Syah.”
                
Razz angkat kepala lambat-lambat. Matanya memandang umi yang sedang berdiri di sinki. Mengeluarkan segala ikan, ayam, dan entah apa lagi yang dibeli. Kepalanya ditongkat dengan tangan kiri. Merenung belakang uminya.
               
“Razzen Syah…”
                
Razz menggaru-garu kepalanya. Bila umi asyik sebut nama penuh tu maknanya tiada kompromi la. Nak tak nak memang kena buat. “Razz bangun dah ni.” Dia membalas. Tangan kanan menutup mulut yang terbuka luas. Sedaya mungkin dia cuba membesarkan kelopak matanya.
                
“Dah gosok gigi belum?”
                
“Belum.”
                
“Lepas tu terus minum susu. Elok sangatlah tu. Bangun pun dah nak tengahari. Cubalah balik tu Razz tolong umi gembur tanah kat depan tu ke, tolong Didi siapkan homework ke. Tolong kemas bilik Razz yang dah macam stor tu ke.” Umi dah masuk mode berleter. Razz buat muka toya. Dah mula dah.
                
Tadah jelah telinga tu Razz oi. Bila lagi nak dengar umi membebel. Tiga hari je pun. “Umi nak masak apa tu?” Soalnya cuba menukar topik. Atau lebih tepat nak mengelak dari terus mendengar bebelan umi yang dia yakin takkan ada kesudahan tu. Telinga pun dah naik panas ni. Bangun tidur dengar umi berleter bukanlah pilihan terbaik. Nanti, dari satu benda ke satu benda umi ungkit.
                
“Entah. Razz nak makan apa?”
                
Razz jongket kening. “Kenapa tanya Razz?”
                
“Awak tu bukan selalu balik. Nak makan apa?” Umi mencapai pisau.
                
Razz menengadah siling dapur. Nak makan apa eh? Umi dah offer nak memasak tu kenalah gunakan peluang yang diberikan. Hm. “Kari ayam?”
                
“Tu je?”
                
“Umi nak buat kenduri ke?” Sakat Razz. Dalam mamai-mamainya pun sempat juga nak mengusik uminya itu. Yelah, cara umi tanya tu macam nak masak banyak sangat je. Umi sudah pun membawa langkah ke peti ais. Mengeluarkan segala sayur yang masih elok disimpan di dalamnya.
                
“Nak umi masak ke tak?” Umi dah keluar suara macam nak telan orang.
                
Hekeleh, umi. Aci sentap pulak. Nak gurau pun tak boleh. “Kangkung belacan.” Putus Razz selepas puas berfikir nak makan apa.
                
“Dah, pergi mandi. Kejut Didi sekali. Tu pun lagi sorang. Kalau tak kejut, tak bangun. Eloklah abang dengan adik perangai sepesen.” Leter umi lagi. Razz garu kepala. Aduh, umi. Kalau sehari tak berleter tak boleh ke? Ke dulu umi teringin sangat nak masuk perbahasan tapi tak berkesampaian? “Dengar tak ni Razzen Syah.”
                
Punggung diangkat dari kerusi. “Ye, Razz dengar. Nak naiklah ni.” Tangan kanan menolak kerusi ke dalam. Langkah kaki diheret naik ke atas dan terus menuju ke bilik adiknya, Didi atau nama penuhnya Razihah Aliya. Entah mana datang Didi pun dia tak tau. Salah-silah nama adik perempuannya tu memang dia tak tahu-menahu. Tau-tau je melekat nama Didi tu. Mungkin dari Zizi jadi Didi? Dah dah, toksah nak merepek Razz.
                
Pintu bilik adik perempuannya diketuk macam nak roboh. “Didi, bangun. Dah tengahari.” Pintu diketuk lagi. Naik sakit juga tangannya mengetuk pintu bilik itu tak berhenti. Si Didi ni kalau dah tidur letak bom sebelah pun belum tentu sedar. Haru betul. Macam mana orang nak masuk meminang ni? Hahaha. Gila ke Razz? Didi tu baru tingkatan tiga. Habis merepek sangatlah orang nak masuk meminang.
                
“Didi! Bangun. Jay Park kat tv tu.”
                
Tak sampai lima saat pintu bilik adiknya terbuka luas. Terjojol wajah Didi dengan mata terbuntang luas. Razz sengih. Berjaya! Sebut nama Jay Park je kemain laju buka pintu. “Mana?” Didi menyoal dengan muka teruja.
                
“Mana apa?” Razz buat-buat tak faham. Adik aku nilah…kemaruk sangat dengan mamat Korea tu. Abang dia yang sikit punya kacak ni tak reti pula dihargai. Cis! Ni yang nak berdendam dengan mamat Korea tu.
                
“Abang kata ada Jay Park.”
                
“Dalam mimpi. Dah, pergi mandi. Umi suruh bangun. Matahari dah tegak tu.” Razz terus berlalu meninggalkan Didi di hadapan pintu yang macam dah nak bertukar jadi Hulk itu.
                
“Abang jahat!”
                
Razz ketawa puas.



“HA, tambah lagi nasi tu Al. Sikit sangat auntie tengok tu.” Puan Hidayah menegur. Tangan sudah mencapai senduk nasi di dalam bekas nasi di atas meja. Bersedia untuk menambah nasi ke dalam pinggan Farha yang sudah licin.
                
“Eh, takpe. Al kenyang dah.” Farha menolak sopan. Senyum nipis ditarik melepasi bibir. Puan Hidayah memang macam tu. Pantang sungguh kalau dilihat Farha makan sikit mesti nak disuruh tambah. Katanya badan Farha kurus sangat macam tak cukup makan. Farha hanya mampu gelak.
                
“Betul ni kenyang?”
                
Farha menganggukkan kepalanya. Pinggan nasi ditolak ke tengah. “Betul. Kenyang dah. Sedap auntie masak.” Puji Farha. Airin di sebelahnya masih lagi dok menyuap nasi ke dalam mulut.
                
“Pelik betul auntie dengan Al. Makan sikit sangat. Anak auntie tu, makan macam membela.” Seronok Puan Hidayah dapat mengutuk anak perempuannya. Airin yang baru hendak menyuap nasi ke dalam mulut terus tak jadi menyuap. Kepalanya diangkat memandang wajah Puan Hidayah dengan kening terangkat.
                
“Nanti Rin tak makan mak juga kata Rin dah tak suka masakan mak.” Airin membalas. Hujung jari diketuk-ketuk di atas permukaan pinggan. Menjeling sekilas Farha di sebelahnya. Kemudian matanya jatuh pula pada adik lelakinya, Akmal Syafiq yang duduk berhadapan dengannya, bersebelahan Puan Hidayah.
                
Puan Hidayah ketawa kecil. “Dah tu siapa nak makan apa yang mak masak kalau bukan Rin dengan Apiq kan?” Tangan kanan mengusap-usap rambut anak lelakinya yang berusia sembilan tahun itu. Syafiq terus mengunyah. Langsung tak ambil pusing perbualan kakak dan maknya. “Al ada adik, kan?” Soal Puan Hidayah tiba-tiba.
                
Farha tarik senyum nipis. Payau. “Ada.”
                
“Umur berapa?”
                
“Muda dua tahun.” Hujung jari menguis-nguis hujung t-shirt lengan panjang yang dipakainya. Dia jadi tak selesa bila tiba-tiba soalan itu keluar dari mulut Puan Hidayah. Ah, Puan Hidayah semestinya tahu tentang papanya yang berkahwin lain. Tentang mama tirinya. Tentang adik tirinya, Eja.
                
“Satu sekolah?”
                
Farha menggelengkan kepalanya. “Tak. Eja sekolah perempuan.” Dia perasan ekor mata Airin yang memerhatikan setiap gerak-gerinya. Nak tergelak pun ada juga melihatkan Airin tu.
                
Family baru Al okay?”
                
Farha masih senyum nipis. Otak ligat memikir ayat yang sesuai. Takkan nak kata tak okay? Lagipun dia dengan mama tirinya tu memang tak ada apa-apa masalah. Dengan Eja pun. Eja pun baru je lepas menyampaikan hasrat nak jadi adiknya. Jadi, dia memang tak ada sebarang masalah pun kalau nak diikutkan cuma entahlah. Susah untuk dia menerima perubahan. Menerima orang baru dalam hidupnya.
                
Dia merenung pinggan kosong di tengah meja. “Okay. Mama baik. Eja pun baik.” Berhati-hati dia menutur kata. Dia takut juga kalau-kalau tersalah cakap dan memberi apa-apa idea bukan-bukan tentang mama tiri dan adik tirinya itu.
                
“Nanti kirim salam kata mereka.”
               
Farha angguk kepala. Ekor mata melirik Airin di sebelah yang sedang menolak pinggan kosong ke tengah meja. Tangan kanannya mencapai air basuh tangan di dalam mangkuk yang disediakan. “Mak, nanti Rin dengan Al nak pergi library. Study.”
                
“Hati-hati. Naik dengan Al ke?”
                
“Tak. Naik dua motor.”
                
“Hati-hati. Jangan nak melaju je.”
                
Airin sengih menampakkan barisan giginya. Ish, mak ni. Tau-tau je aku memang nak bawak motor tu macam orang gila nanti. “Ye, mak. Rin tau. Eh Al. Tunggu kejap. Aku nak pi bersiap.” Airin sudah pun bangun dari duduknya. Menolak kerusi dengan tangan kanan dan terus mengatur langkah ke biliknya. Farha membawa langkah Airin dengan pandangan mata.



BELAKANG pen ditangan diketuk-ketukkan di atas permukaan meja. Entah berapa kali dia memanjangkan lehernya mencari si mamat library pujaan hati kawannya itu tapi langsung tak nampak bayang. Dia menghela nafas panjang. Bosan. Farha di hadapannya khusyuk menconteng entah apa di atas kertas kajang yang mulanya kosong itu.     
               
“Al…” Rengeknya.
                
Farha angkat muka dari muka surat di hadapan ke wajah bosan Airin. “Apa?”
                
“Mana mamat library?”
                
Dia mengalihkan pandangannya dari wajah Airin ke meja yang menjadi tempat rasmi lelaki yang bernama Razzen Syah itu. Bahu dijongketkan. “Entah. Bukan aku jaga dia pun.” Balasnya konon-konon tak berminat. Jam dipergelangan tangan dilirik sekilas. Hm, pelik. Selalunya waktu macam ni dia ada dah.
                
“Kalau dia tak datang baiklah aku tak datang tadi.”
                
“Kau datang nak usha dia je ke?”
               
“Dah tu? Aku tak adanya nak datang library sebab nak belajar.” Jujur Airin memberitahu. Farha menongkat dagunya dengan tangan kiri. Merenung wajah Airin.
               
“Kenapa nak usha dia?”
               
“Sebab aku nak tau macam mana mamat tu boleh buat kawan aku macam ni.” Airin mengangkat-angkat keningnya dengan senyuman nakal dibibir. Pen ditangan dipusing-pusingkan ala-ala bilah helikopter. “Lagipun, aku nak bagi amanat jaga kau elok-elok.”
                
Laju tangan Farha mencapai kertas yang bergumpal di atas meja dan dicampak tepat ke arah Airin. Airin ketawa galak. Beberapa pasang mata memandang ke arah mereka. “Kau jangan nak merepeklah, Rin.” Kepalanya ditundukkan. Malu dengan beberapa pasang mata yang memandang mereka tadi.
                
“Mana ada merepek. Aku kira menjalankan tugas sebagai seorang kawanlah ni.”
                
“Banyaklah kau punya tugas sebagai seorang kawan.” Farha mencebik. “Aku bukannya suka dia pun.” Gumam Farha rendah. Airin tak sudah-sudah nak mengenenkannya dengan si Razzen Syah tu. Dah naik berbuih dia memberitahu Airin yang dia tak ada sebarang perasaan pun pada lelaki itu. Okay, mungkin sikit? Eh?
                
“Yelah tu, Al. Bukannya aku tak kenal kau.”
                
“Betullah.” Farha tak nak kalah. Kalau dibiarkan makin melarat si Airin ni akan mengenakannya. Pandangan terus dialih pada muka surat yang tidak beralih dari tadi. Airin hanya memerhati dengan senyuman masih bergayut dibibir.
                
Tika itu juga mereka menangkap bunyi ketukan di atas meja. Refleks dua kepala berpaling ke arah kiri. Di hadapan mereka berdiri seorang lelaki yang sedang menggalas beg berwarna biru gelap. Hujung jari menolak cermin mata yang hampir melurut. “Yo.” Senyuman ditarik.
                
“Yo.” Balas Farha perlahan. Airin hanya memandang susuk tubuh di hadapannya tak berkelip.
                
“Hari ni kau dengan kawan.” Ayat penyata. Anak matanya mula menilik Airin yang duduk berdepan dengan Farha. Hm. First time aku jumpa dia datang dengan kawan.
                
“Kenapa?”
                
“Oh, saja. Bosan duduk sana. Ingat nak lepak sini tapi kau ada kawan tak jadilah.” Razz masih lagi dengan senyuman. Amboi, Razz. Murah betul dengan senyuman hari ni? Nak tawan hati anak orang ke? Hahaha.
                
Airin tersentak. Mengalih pandangan ke arah Farha sebelum kembali pada si mamat library. “Eh takpe takpe. Saya pun dah nak balik. Al, aku balik dulu eh?” Buku-buku teks di atas meja ditindih kemas.
                
Farha mengerutkan dahinya. Pulak dah? “Awalnya?”
                
“Aku baru teringat mak aku suruh beli barang tadi.” Kelentong Airin. Ah, bedallah. Orang nak berdua-duaan kita kenalah kasi peluang. Dapat jugak aku jumpa mamat library si Farha Alisa ni. Airin ketawa dalam hati. Buku yang sudah siap disusun dikendong dengan tangan kiri. Beg sudah pun digalas ke bahu.
                
“Kau memang nak balik ke?”
                
“Yelah.” Dia sudah pun bangun dari duduknya. Tangan kiri menolak kerusi ke dalam. Memandang sekilas Razz yang masih berdiri terpacak di sudut kiri meja bulat itu. “Malam nanti aku Whatsapp.” Langkah dibawa rapat ke arah Farha. Dia menundukkan sedikit wajahnya agar selari dengan telinga kawannya. “Selamat berdating.” Bisiknya nakal.
                
Farha mencubit geram lengan Airin. Airin ketawa galak. “Awak, jaga kawan saya ni elok-elok tau.” Ujarnya dengan tawa nakal. Belum pun sempat Razz membalas Airin sudah pun melangkah menuju ke pintu keluar perpustakaan itu. Farha ketap bibir.
               
“Aku kacau ke?” Razz bertanya. Risau pulak kot-kot dia menganggu budak perempuan tocang kuda ni.
               
Farha menggelengkan kepalanya. “Tak.”
                
“Boleh duduk?”
                
“Kat kerusi tu tak de pun tulis tak boleh duduk.” Sarkastik Farha membalas. Anak matanya sudah pun tertumpu pada tulisan di atas helaian muka surat yang sejak dari tadi tak berganjak. Ni semua Airin punya pasal.
                
Razz senyum senget. Mula dah perangai kerek mintak kena humban dalam longkang dia tu. Sabar jelah aku dengan budak ni. Tangan menarik kerusi di hadapan Farha dengan tangan kiri. Buku yang dikendong diletakkan di atas meja. “Study apa?”
                
“Fizik.”
                
“Betul ni aku tak kacau?”
                
“Kalau kacau pun kenapa?”
                
“Aku duduklah kat meja sana.” Dia sudah pun menongkat dagu. Merenung lama Farha yang masih lagi tunduk. Langsung tak angkat muka. Tak taulah sama ada Farha ni malu atau memang tak nak pandang muka dia. Eh, aku yang kacak tak nak dipandang memang sajalah kan? Perasan!
                
“Taklah.” Pendek Farha membalas. Malas nak melayan. Tangan mula menyelak helaian muka surat buku di hadapannya. Pen ditangan dipusing-pusingkan. Tak berani nak angkat muka memandang lelaki di hadapannya. Jantung macam nak melompat keluar. Chill, Al.
               
Don’t worry. Aku duduk sini diam-diam. Tak kacau kau.” Lembut suara itu menampar gegendang telinga Farha. Farha menganggukkan kepalanya. Earphone diambil dari dalam sling bag, dicucuh hujung wayar ke Samsung Galaxy SII sebelum earphone disumbat ke telinga. Lagu After Dark – Asian Kung-Fu Generation berdentum memekakkan telinga. 

No comments:

Post a Comment