Hey, It's Me

Assalammualaikum :)

Ana, sebuah cerita ringkas untuk semua.

Sebarang kekurangan di sana sini mohon diampunkan. Saya cuma menulis mengikut apa yang terlintas, bukanlah mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka :P


Tuesday 2 July 2013

Diari Buat Razz [13]


13

Hati terus membeku, menutup semua perasaan – Farha Alisa

Tangan bergerak menyapu Nutella di atas roti. Sesekali dia mengerling sekilas papa yang sedang khusyuk dengan surat khabar di tangan. Wajah yang terlindung di balik surat khabar tak tau la macam mana rupanya. Dahi berkerut ke, bibir terjuih-juih mengomel ke. Dia tak tau.
                
Sejak perbualan tak berapa nak panjang dengan papa beberapa hari lepas (bila mana segala yang terbuku berjaya diluahkan), mereka jadi macam dua entiti yang berbeza. Semacam ada tembok sebesar Tembok Besar China yang menjadi penghalang mereka. Kalau dulu, dia terasa papa semakin jauh. Sekarang lebih lagi. Entah, dia sendiri tak tau di mana silapnya. Mungkin papa terasa hati dengan apa yang diluahkan? Mungkin.
                
Eja yang sudah siap berbaju sekolah dengan tudung dikepala menuruni anak tangga dengan beg bergalas dibahu. Langkah kaki dibawa menuju ke meja bulat di tengah-tengah antara dapur dan ruang tamu. Mama sedang sibuk di dapur entah buat apa. Tadi sebelum dia duduk di meja itu, mama tirinya itu sedang menggoreng telur. Rasanya.
                
Tangan kanan menarik kerusi dan punggung dilabuhkan di atasnya. Ekor mata melirik sekilas Farha yang masih lagi menyapu Nutella di atas roti. Langsung tak ambil pusing dengan kewujudannya di meja bulat itu. Nafas dihela panjang. Entah bila kakak tirinya tu hendak berlembut hati.
                
Jemput-jemput pisang di tengah meja dicapai dan disumbat ke mulut. Cawan yang sudah berisi teh panas turut sama ditarik rapat ke arahnya. Dia memandang sekilas papa yang masih dengan surat khabar.
                
Suasana di ruang meja itu sunyi. Hanya kedengaran bunyi cawan berlaga dengan piring. Farha menggigit roti yang sudah selesai bersapu Nutella. Merenung lama papa dibalik surat khabar dari tempatnya. Merangka ayat untuk memecahkan tembok di antara mereka. Yelah, sampai bila tak nak bertegur? Suka atau tak aku tetap anak papa. Satu-satunya anak perempuan hasil perkahwinan mama dan papa.
                
Kemudian, pandangannya beralih pula pada Eja yang sedang menghirup teh. Eja yang sedar dirinya diperhatikan terus angkat muka. Terjongket sedikit keningnya. Farha menarik senyum segaris sebelum kembali merenung permukaan meja. Awkward!
                
Encik Hisham melipat surat khabar ditangan. Kedua-dua anak perempuannya dipandang satu-persatu. Hujung telunjuk menolak bingkai cermin mata. “Al.”
                
Farha angkat muka dari meja ke wajah papa. Kening diangkat.
                
“Nanti hantar Eja pergi sekolah.”
                
Hah? Tak berkelip dia memandang papa di hadapan. Biar betul? “Tapi…sekolah Al dengan Eja jauh.” Takkanlah papa tak tau jarak sekolah mereka berdua? Eja hujung belah sana, aku hujung belah sini. Tak ke macam dok berpusing-pusing nanti?
                
Jam tangan dilirik sekilas. “Papa ada hal. Tak boleh nak hantar Eja. Al tolong hantarkan.” Pandangan Encik Hisham beralih pada Eja yang langsung tak menyampuk.
                
“Mama kan ada.”
                
“Al…” Suara Encik Hisham dah berubah lain macam.

“Tapi papa…” Farha masih tak berpuas hati.
                
“Bukan selalu papa mintak tolong Al.”
                
Farha menghela nafas panjang. Nak tak nak terpaksa jugaklah. “Yelah.” Dia melirik jam dipergelangan tangan. 6.50 pagi. Otak mula mencongak masa yang akan diambil untuk menghantar Eja kemudian ke sekolahnya. Macam sempat. Kot?
                
“Kalau Al tak boleh ambil Eja petang nanti, papa ambil.”
                
“Takpe, pa. Eja balik dengan kak Al.” Eja akhirnya bersuara.
                
Farha angkat kening. Ek? Balik pun aku kena ambillah ceritanya sekarang ni? Duh. Si Eja ni pun dah kenapa? Nak sangat ke berbaik dengan aku? Jadi teringat pula akan perbualan mereka di ruang tamu. Dah lama. Tapi entah kenapa terasa nak teringat. Mungkin sebab ayat Eja yang extraordinary tu? Kak Al tak nak jadi kakak Eja ke? Ah, kenapa mesti teringat?
                
“Okaylah. Papa gerak dulu.” Encik Hisham sudah pun bangun dari duduknya. Surat khabar di atas meja dicapai dan digenggam dengan tangan kanan. Langkah kaki dibawa ke dapur. Ruang meja itu hanya tinggal Farha dan Eja.
                
Eja ketap bibir. Kekok. Sisi wajah Farha dipandang melalui ekor mata. Aduh. Kenapa otak selalu tak nak bersepakat dengan mulut? “Err, kak Al.”
                
“Hm?”
                
Sorry menyusahkan.”
                
“Takpe.” Farha menyumbat jemput-jemput pisang ke dalam mulut. Eja diburu rasa serba salah. Ah, gasaklah!



HELMET berwarna biru gelap itu dihulur kepada Farha. Tangan kanan mengambil helmet tersebut dari tangan Eja dan disangkut pada penyangkut scooternya. Farha memandang Eja yang sedang membetulkan tudungnya dengan pandangan kosong. Tak tau nak buat reaksi macam mana. Senyum? Rasa macam tak mampu nak senyum sekarang. Paling-paling aku boleh buat muka beku macam selalu.
                
“Habis sekolah pukul berapa?” Tanpa nada. Dia menjeling sekilas figura wajahnya pada cermin sisi. Kemudian kembali mengalih pandang pada Eja yang sedang berdiri terpacak.
                
“2.30 petang.”
               
Beberapa pasang mata yang sedang memerhatikan mereka berdua langsung tak diendahkan. Dah gaya macam tak pernah jumpa orang je gamaknya. Aku bukannya alien baru turun dari Planet Marikh ke apa. Duh. Cucuk mata dengan jari baru tau. “Tunggu kat sini. Nanti kak Al datang ambil.” Lengan baju kurung disingsing tinggi.
                
“Okay.”
                
“Tapi kak Al tak terus balik. Singgah library. Takpe?” Ha, kau nak balik dengan aku memang kau kena ikutlah aku pergi mana. Tadi elok je papa offer nak ambil tak nak. Eh, Farha. Si Eja tu elok je nak buat geng kau pula ego melangit kenapa? Bentak si hati. Farha gigit bibir. Aku perlukan masa!
                
Eja menggelengkan kepalanya. “Takpe.”
                
Okay then. 2.30 kat sini. Bye.”
                
Terus tangan memulas pemegang scooter dan laju scooter kesayangan Farha meninggalkan perkarangan sekolah Eja sebelum sempat Eja membalas apa-apa. Eja menghela nafas panjang. Bila agaknya hati kak Al nak lembut?



SCOOTER diparkir ditempat kebiasaannya. Helmet dikepala ditanggalkan dan disangkut pada penyangkut scooter. Tudung dikepala dibetulkan ala kadar. Sekolah telah menetapkan peraturan di mana pelajar perempuan diwajibkan bertudung. Nak atau tak nak memang kena ikut kalau tak nak dipakaikan tudung warna merah jambu. Mimpi ngeri! Sah-sah jadi tumpuan utama kat sekolah.
                
Syuhada, pengawas yang bertugas menjaga pagar pada hari itu dipandang sekilas. Senyuman nipis ditarik melepasi bibir. Setakat cukup syarat. Nanti entah berapa puluh ribu orang lagi cop yang Farha Alisa sombong – nak senyum pun payah. Aku malas nak rosakkan reputasi. Yelah, sangat. Bukan reputasi kau dah sedia rosak? Ada aku kisah?
                
Beg galas dibahu dibetulkan letaknya. Figura wajahnya dikerling sekilas melalui cermin sisi scooter sebelum kaki dibawa menuju ke Dataran Hikmah untuk berkumpul. Kepala ditelengkan ke kiri dan ke kanan mencari Airin. Selalunya dia tu ada je menepek kat atas pentas Dataran Hikmah tu. Dah mana pulak dia ni pergi?
                
Langkah kaki dibawa menuju ke kantin. Mata mula melilau mencari mana-mana meja yang kosong untuk melepas lelah. Duduk sekejap sementara menunggu loceng sesi persekolahan berbunyi. Jam dipergelangan tangan dikerling sekilas. Ada lagi sepuluh minit. Laju tak lajulah aku pecut dengan scooter yang sedia maklum kalau nak pecut, kura-kura kejar pun sempat. Nasib baiklah sampai jugak.
                
Empty table spotted! Laju dia membuka langkah ke meja kosong. Beg galas dibahu diletakkan di atas meja. Punggung dilabuhkan di atas bangku panjang. Lehernya dipanjangkan masih cuba mencari si Airin yang entah kat mana. Langsung tak nampak bayang.
               
“Lambat sampai?” Sapa satu suara dari arah belakang.
                
Ha, muncul dah. Macam biskut betul mak cik sorang ni. Airin sudah pun mengambil tempat bersebelahan Farha. “Aku hantar Eja tadi.” Dia membalas. Nak tak nak. Kepala sudah dilentokkan di atas meja beralaskan lengan. Mengantuklah pulak. “Kau dari mana?” Mengerling sekilas Airin di sebelah.
                
“Bilik guru. Kau hantar Eja?”
               
“Hm.” Gumamnya rendah. Ha, ni tak lain tak bukan nak keluarkan soalan ala-ala pak cik polislah ni. Faham sangat dah dengan nada dan gaya soalan tu. “Kalau kau nak tanya kenapa aku hantar Eja, jawapan dia sebab papa ada hal tak boleh nak hantar.” Farha bersuara sebelum sempat Airin menembaknya dengan soalan entah apa-apa.
                
Airin sengih. “You know me well.”
                
“Aku dah kenal dengan kau since sekolah rendah.” Farha membalas. Setiap perangai si Airin dah macam ada kat hujung jari. Dari sekolah rendah membawa ke sekolah menengah mana pernah berenggang. Pernah juga dia tanya Airin kenapa tak cari je kawan lain dan Airin akan balas ‘siapa nak tengok-tengokkan kau nanti?’ Siapa je tak terharu tahap boleh meraung meleleh dengar ayat macam tu?
                
Dengan adanya Airin, seorang Farha Alisa dah cukup bertuah. Untuk apa mengharap kawan yang belum tentu berkawan atas dasar ikhlas? Kawan yang bila-bila masa je boleh tinggalkan kau? Dah tak ada apa yang nak diharapkan lagi. “Kau pergi bilik guru buat apa je?” Pelik juga si Airin pagi-pagi lagi dah menyinggah bilik guru. Taulah bilik guru tu rumah kedua.
               
“Jumpa cikgu Siti. Pinjam novel.” Sengih.
                
Farha tidak mengulas lebih. Tau sangatlah si Airin dan cikgu Siti tu memang satu kroni. Memang tak ada sebab lain kalau Airin jumpa cikgu Siti melainkan pinjam novel. Kalau dah dia dan cikgu Siti duduk semeja berbual fasal novel mahu dua puluh empat jam pun tak cukup.
                
Loceng sesi persekolahan sudah berbunyi. Farha masih lagi beralaskan lengan dengan mata separuh terbuka. Kalau dibiarkan lagi mahu tertidur terus dia di situ. Airin sudah pun bangun dari duduk, berdiri terpacak menunggu Farha yang langsung tak ada tanda-tanda nak bangun.
                
“Al…cepatlah.”
                
“Kejaplah.” Malasnya. Boleh tak buat-buat tak dengar je loceng tu, tidur je kat sini? Mengantuk sangat ni. Nak kata semalam tidur lambat, rasanya dah cukup awal dah. Tidur pukul 1.00 pagi tu kira awallah kan? Awallah untuk seorang Farha Alisa agaknya.
                
Airin sudah bercekak pinggang. “Cepatlah. Nanti si baju biru bisinglah.” Si baju biru merujuk kepada pengawas sudah pun berada tidak jauh dari tempat mereka. Memandang lama ke arah mereka berdua.
                
“Lima saat.”
                
“Farha Alisa!”
                
Farha mencebik. Bila Airin dah sebut nama penuh tu taulah yang dah tak boleh nak berkompromi lagi. Lambat-lambat dia mengangkat kepala. Tubuh ditegakkan. Beg galas di atas meja digalas ke bahu. Juga lambat-lambat. Dia yang mulanya duduk sudah pun berdiri. Baju kurung dibetulkan. Letak tudung juga dibetulkan. Tangan kanan menggenyeh-genyeh mata yang terasa pedih. Nak tidur!
                
“Kau tidur pukul berapa semalam?”
                
Tika itu mereka berdua sudah pun melangkah ke dataran, tempat berhimpun. “1.00 pagi.” Tangan kanan menahan kuap. Hujung mata yang berair diseka dengan jari telunjuk. Dahsyat punya mengantuk ni. Selama ni lepak je tidur 2-3 pagi pun. Dah kenapa?
                
“Kau buat apa je?”
                
Farha kerut dahi. Aku buat apa je semalam? Hm. “Text Payed.” Sekali lagi tangan kanan menahan kuap. Hoh, teruk sangat ha aku mengantuk ni. Mata yang pedih digenyeh sekali lagi. Aci tak kalau tidur dalam kelas nanti?
               
Airin sengih. “Ke mesej dengan abang Razz?”
                
Mereka sudah pun masuk ke dalam barisan kelas mereka. Lima Bakti. Beberapa pelajar kelas mereka masih ada yang belum berada di dalam barisan. Lambat mungkin? Atau pun ponteng? Tak kisahlah. “Kenapa tetiba nama dia naik ni?” Airin ni tak habis-habis nak mengenenkan aku dengan mamat library tu. Entah apa yang dia suka sangat dengan Razz tu pun aku tak tau.
                
“Saja.” Sengih masih tak padam. “Kau tak mesej dengan dia?”
                
Geleng. “Takde nombor dia.” Mudah jawapan balas Farha. Oh, tapi tu memang hakikat juga fakta. Aku manalah ada nombor si Razzen Syah tu. Rasanya tak pernah pulak mamat tu kasi nombor dia ke aku. Aku pun takdelah pulak terasa nak mintak nombor dia ke apa.
                
Membulat biji mata Airin. “Serius kau takde nombor dia?”
                
Kepala digelengkan sekali lagi. Ish, dia ni. Kan dah cakap tadi. “Tak. Dia tak kasi.”
                
“Tak mintak?”
                
“Perlu sangat ke?” Kening dijongket tinggi. Nak mintak nombor dia pun buat apa? Bukannya aku ada benda pun yang nak kena mesej dia ke apa. Jumpa jelah kat library tu. Tak pun aku redah je jumpa dia kat rumah. Eceh, taulah dah dapat mandat boleh datang rumah dia. Hahaha.
                
“Kata kawan?”
                
“Perlu ke ada nombor baru nak kata kawan?” Kalau berkawan je macam dia dengan Razz sekarang tak boleh ke? Cop, kitorang ni berkawan ke? Tapi dia kata aku adik dia. Ah, sudah! Aku pulak yang keliru. Bala…bala… “Apa-apa pun ada benda yang nak disampaikan ni.”
                
Airin angkat kening.
                
“Payed kirim salam.”
                
“Tu je?”
                
“Tu je.”
                
“Ceh.”
               
Farha ketawa. 

1 comment: