Hey, It's Me

Assalammualaikum :)

Ana, sebuah cerita ringkas untuk semua.

Sebarang kekurangan di sana sini mohon diampunkan. Saya cuma menulis mengikut apa yang terlintas, bukanlah mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka :P


Saturday 25 May 2013

Fate


Dia memandang budak lelaki yang masih lagi terkial-kial mengikat tali kasutnya. Kedua-dua belah tangannya sudah pun disilangkan dan dibawa rapat ke dada. Geram! Entah apa yang lambat sangat ikat tali kasut pun dia tak tau. Dasar anak orang kaya! Jangan kata ikat tali kasut pun maid yang buat. Over!

“Weh, cepatlah!” Nada suaranya meninggi. Anak mata masih tepat memandang tubuh budak lelaki yang masih lagi menunduk – tekun mengikat tali kasut. Budak lelaki itu mengangkat wajahnya takut-takut. Berkerut-kerut dahinya memandang budak perempuan bertocang dua di hadapannya.

“Err, kejap. Tak boleh ikat.” Ujarnya takut-takut. Damira mendengus. Langkah kaki dibawa menghampiri budak lelaki itu. Dia sudah pun duduk mencangkung separas dengan budak lelaki yang masih lagi menunduk – cubaan mengikat tali kasut.

Damira menggelengkan kepalanya. “Meh sini aku ikatkan.” Terus tali kasut berwarna putih itu bertukar tangan sebelum sempat budak lelaki tadi menghalang. Dan tak sampai pun seminit tali kasut tadi sudah elok berikat. “Nah, siap! Benda senang pun tak reti.” Damira mencebik. Menyampah.

“Terima kasih, Mia.” Budak lelaki itu bersuara dengan senyuman nipis di bibir. Namun, riak wajahnya masih terpancar riak takut-takut. Anak matanya hanya sempat bertembung pandang dengan sepasang anak mata Damira untuk dua saat sebelum dia mengalihkan pandangannya ke arah lain.

Damira bingkas bangun. “Dah, cepatlah. Lambat aku tinggal.” Dan terus dia melangkah laju meninggalkan budak lelaki tadi.

***
“DAMIRAAAAAAAAA” 

Damira yang sedang menongkatkan dagunya dengan tangan kanan tersentak. Habis terus lamunan pada zaman kanak-kanaknya dulu. Berganti dengan wajah Ayu yang sedang tersengih-sengih macam kerang busuk.

Damira mengangkat keningnya. “Apa?”

Ayu masih lagi dengan sengihannya. Punggungnya dilabuhkan berhadapan dengan Damira. Damira sudah pun menegakkan tubuhnya memandang terus wajah Ayu. “Kau ni dah kenapa? Tersampuk ke?” Damira dah rasa nak hempuk Ayu dengan buku setebal dua inci di depan mata. Seriau tahu tengok orang dok sengih-sengih gitu?

“Apa cerita semalam?”

Damira kerut dahi. Semalam? Kenapa dengan semalam? Rasanya semalam lepas je habis kelas aku terus balik. Tak ke mana-mana pun. Ke ada? Cuba fikir, cuba fikir. Ada apa dengan semalam…? Eh? Damira memandang wajah Ayu dengan muka kau-nak-tanya-pasal-tu-ke. Dan Ayu yang dapat membaca riak wajah Damira hanya mengangguk.

Damira mengeluh. Malasnya. “Apa yang kau nak tau?”

“Kau terima dia? Dia confess ke?”

Damira menggaru-garu kepalanya yang tak gatal .”Err, tak?”

“Tak untuk yang mana?”

“Untuk yang aku terima dia tu.” Damira menjawab malas-malas. Kalau boleh dia nak aje pura-pura sakit perut dan berlari ke tandas untuk mengelakkan dirinya dari terus diasak soalan-soalan Ayu. Ayu kalau datang rasa ingin tahu dia tu mahu tiga hari tiga malam dia menyiasat macam polis pencen.

Ayu membuntangkan biji matanya. “Apasal? Dia tak cukup hot ke untuk kau? Wehhhh! Bagi aku sebab yang rasional kenapa kau tolak dia?” Kedua-dua belah tangannya memegang kuat bahu Damira kiri dan kanan. Mukanya juga hanya beberapa inci sahaja dari wajah Damira dan Damira dah rasa macam nak humban Ayu dalam longkang. What the…?

“Yang kau beria-ia sangat ni kenapa? Kalau kau nak sangat kat dia, ambiklah. Aku kasi free.” Damira menolak wajah Ayu supaya menjauhinya. Oh, rimas! Rimas! Ayu ni pun, drama queen sangat. Memang padanlah dengan gelaran drama queen tu.

“Kalau dia nak kat aku, dah lama aku terkam. Masalahnya dia nak kat kau! Nur Damira Izana. Kesian Izzi tau.” Ayu sudah pun menggawang-gawangkan tangannya ke kiri dan ke kanan. Damira yang melihat dah naik pening. Macam manalah aku boleh berkawan dengan dia ni.

Damira memandang wajah Ayu. Lama. Otak cuba merangka ayat nak kasi Ayu faham. Rasanya dah berjuta kali jugak dia cakap kat Ayu yang dia tak nak dan tak akan berkasih cintan cintun eww eww tu semua. Tak faham lagi ke? Nak cakap bahasa apa baru faham?

“Ayuni Mirsa, saya Nur Damira Izana dah penat nak kasi awak faham yang saya tak nak bercinta! Couple? Pakwe makwe. Not my thing, okay!” Damira angkat kening kanan. Kalau yang ni pun tak faham jugak aku tak tau nak buat macam mana lagi. Kena belajar bahasa lain pulaklah gamaknya.

Ayu menghela nafas panjang. “Aku tak fahamlah kau ni. Ramai je nak buat kau jadi awek tapi semua kau tolak. Ke kau dah ada yang kau tunggu?” Ayu menyoal dengan muka hairan. Damira mengalihkan pandangan ke luar tingkap kelas. Memandang gazebo yang tersusun cantik di laman kampus mereka. Dan entah kenapa seraut wajah itu yang melintas di fikiran. Ah, kenapa aku ingat budak selebet tu?

Tangan kanan menongkat dagu. “Tak. Aku tak rasa nak buat semua tu.”

So, memang betullah kau tunggu someone?”

Damira menggelengkan kepalanya. “Tak.” Ni apa punya kawan tak faham bahasa Melayu ni? Bukan aku kata tak ke tadi? Makanya tak. Hm.

“Tapi mata kau menggambarkan yang lain.” Ayu mengulum senyum. Damira tidak membalas. Lebih senang membiarkan ayat yang baru keluar dari bibir Ayu terbang di bawa angin.

***
DAMIRA menghempaskan tubuhnya di atas katil dengan baju kurung masih tersarung dibadannya. Sling bag entah ke mana dicampaknya. Mungkin dah selamat di bawah katil. Mungkin ada kat tepi katil tu. Mungkinlah. Lengan kanan didaratkan di atas dahi. Entah kenapa kata-kata Ayu tadi terngiang-ngiang ditelinganya. Ah, Ayu! Kau lagi mengusutkan keadaan. Matanya dipejamkan rapat-rapat dan bayangan zaman kanak-kanaknya mula bermain di ruang gelap disebalik matanya yang terpejam.

Mata yang terpejam dibuka perlahan-lahan. Keluhan kecil terbit di bibir. Lengan masih lagi di atas dahi – anak matanya dibawa ke siling bilik bercat putih susu itu. Mana dia agaknya? Nik Mikail Hadi. Entah macam mana rupa dia sekarang? Makin berisi? Masih penakut? Atau…Damira menghela nafas panjang. Kenapa mesti teringatkan dia sekarang?

Nik Mikail Hadi yang dikenali sejak dari tadika membawa ke sekolah menengah. Lelaki yang sering bersembunyi di belakangnya tiap kali ada yang hendak membuli dan dia yang menjadi hero melindungi. Kalau difikirkan semula, lucu pula rasanya. Seorang perempuan menjadi hero penyelamat kepada seorang lelaki. Hahaha.

Dia bingkas bangun dari pembaringannya membuka langkah seluas mungkin menuju ke almari bajunya. Terus pintu almari ditolak ke tepi. Dia sudah pun melutut di hadapan almari tinggi, menarik rakus laci paling bawah sekali – menyelongkar segala isi di dalam laci mencari sesuatu. Ah, mana pulak benda tu menyorok? Berkerut-kerut dahinya dengan tangan masih lagi menyelongkar – menolak ke tepi segala yang bukan target matanya tika itu.

Dan tak lama lepas tu, matanya menangkap ‘sesuatu’ yang dicarinya dari tadi. Tangan terus mencapai buku kecil berwarna kuning itu – dibuka cover buku kecil itu. Senyuman nipis bergayut di bibir. Anak mata meneliti setiap perkataan yang bertulis tangan di atas muka surat paling hadapan di dalam buku kecil berwarna kuning ditangan.

“One day, I’ll find you. No matter how much your appearance change,
I’ll recognize you instantly.”
-Nik Mikail Hadi-

Damira ketawa kecil. Ah, kata-kata budak berusia 15 tahun. Dah serupa kata-kata si pujangga cinta saja gamaknya. Ditutup kembali buku kecil berwarna kuning itu dan disimpan semula di dalam laci yang berselerak itu. Dikemas ala kadar dan laci itu ditolak semula ke dalam. Ah, apa khabar agaknya dia? Rindu ke, Damira? Ah, karut! Ingatannya kembali pada zaman itu.

***
“MIA! Tunggulah.” Jerit lelaki di belakangnya dengan nafas tercungap-cungap. Matanya yang sepet semakin sepet. Mukanya yang putih bersih itu sudah pun memerah dek berlari hendak mengejar langkah Damira yang laju macam tak cukup tanah di hadapannya.

Damira berpaling ke belakang dengan kening terangkat. “Lembablah kau ni. Cepatlah!” Langsung tidak dipedulikan lelaki yang dah macam putus nafas tak cukup oksigen itu. Memandang macam nak ditelan je lelaki itu hidup-hidup. Damira menyebak rambutnya ke belakang. Kasar.

“Laju-laju pun nak pergi mana?” Hadi menyoal. Nafasnya masih lagi tercungap-cungap. Sedaya upaya dia berusaha mencari semula nafas yang tak cukup. Boleh mati sesak nafas agaknya. Si Damira ni pun jalan macam kena kejar anjing je. Laju! Bukannya lari pun kedai kek yang dia nak pergi sangat tu.

Damira menyilangkan kedua-dua belah tangannya. Eh, dia ni. “Kau yang beria nak ikut lepas tu jalan lambat.” Rungut Damira dengan muka kelat. Bibirnya juga sudah terjuih-juih menahan rasa. Matanya mencerun tajam pada Hadi yang masih lagi tercungap-cungap.

“Memanglah tapi tak payahlah jalan laju.” Ish, dia ni pun. Jalan tu dah serupa macam kena kejar angin. Nak laju je. Ada apa jalan laju-laju ni? Hadi membebel dalam hati. Baju sekolah yang dipakai habis basah dek peluh. Dengan terik matahari tu memang pakej! “Apa yang best sangat kedai kek tu?”

Black forest dia sedap.” Damira masih dengan muka kelat-kelat masam. Cuaca yang panas terik memang menambahkan lagi kekelatan di wajah. Penat oi! Seharian kat sekolah cukup buat otak rasa berselirat. “Sekarang ni kau nak kena tinggal ke macam mana?” Dia memandang Hadi atas bawah. Kalau orang tengok dia ni mesti tak percaya dah 14 tahun. Kecik! Mungkin lelaki umur-umur macam ni memang fizikal kecil lagi kot?

“Kau nak pergi sorang? No! Kejap.” Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembus keluar. Langkah kaki diatur menghampiri Damira. “Jom.” Laju dia melangkah meninggalkan Damira terkulat-kulat. Eee, dia ni!

***
Hadi membetulkan letak cermin matanya dengan jari telunjuk. Buku yang dikendong ditangan kanan sudah beralih ke tangan kiri. Tanpa sedar bibir mengoyak senyuman melihatkan gadis yang sedang duduk di atas bangku kayu tidak jauh dari tempatnya berdiri.

Perlahan-lahan langkah kaki diatur menghampiri gadis yang manis berbaju kurung cotton berbunga kecil warna merah jambu. Rambutnya yang panjang separas pinggang diikat tinggi. Sama seperti zaman kanak-kanak dulu. Comel. Wajah yang terlalu susah untuk menarik senyuman biar pun senyuman nipis. Hadi tergelak kecil.  

Tika itu dia sudah pun berdiri betul-betul di hadapan gadis yang khusyuk dengan novel ditangan. Jarak mereka hanya dipisahkan dengan meja kayu itu. Lama raut wajah itu direnung. Ada rasa rindu yang datang menjengah. Dah terlalu lama gadis itu tidak ditemui. Agaknya dia ingat lagi pada budak selebet yang tak habis-habis menyusahkannya dulu.

Punggung sudah pun dilabuhkan di atas bangku kayu yang kosong. Buku yang dikendong dengan tangan kiri diletakkan di atas meja.

Damira yang sedar akan kewujudan manusia lain di situ terus angkat muka dari muka surat yang terbuka ditangan pada susuk tubuh di hadapannya. Terangkat keningnya melihatkan lelaki itu. Eh?

“Hai, ganggu?” Sapa lelaki itu dengan senyuman nipis.

Damira terpana. Senyuman tu! Aku tau senyuman tu tapi betul ke? Laju dia menggelengkan kepalanya. “T…tak. Tak ganggu.” Ah, kenapa gagap ni? Jantung dah rasa macam nak meloncat keluar dari badan.

It’s been a while, huh?”

Damira kelam. Kejap, dia kenal aku? Dan kalau dia kenal aku bermakna aku pun kenal dia, kan? Dan senyuman tu! Senyuman yang sama. Senyuman yang tak pernah aku lupa. Nik Mikhail Hadi. Tapi…takkanlah.

“Kita kenal ke?”

Senyuman nakal bergayut di bibir. “Awak rasa?”

Damira ketap bibir. Dia ni nak main-mainkan aku ke? Novel ditangan sudah pun ditutup dan dibiarkan di atas meja. Merenung tajam mata lelaki itu. Kenapa aku macam kenal dia? Takkanlah budak selebet tu?   Mustahil. Lelaki di hadapannya tu…macam mana nak cakap eh? Kacak? Err…mungkin.

“Saya tak suka teka-teki.”

“Orang masih panggil awak Mia?”

Wajah lelaki itu dipandang dengan riak tak percaya. Terkelip-kelip matanya. Tak percaya. Biar betul. Dah lama orang tak memanggilnya dengan nama itu. Mia. “Nik Mikhail Hadi?” Ha, ambik. Nama penuh aku kasi. Jangan tersalah teka sudah. Buat malu je nanti.

Lambat-lambat Hadi menganggukkan kepalanya. Senyuman masih lagi bergayut di bibir. “Awak ingat saya lagi.” Tangan kanan menongkat dagu. “Jadi, saya je yang masih panggil awak Mia?” Dia menyoal.

“Dan kau je yang masih panggil aku Mia.” Damira ketawa kecil. Terus merenung wajah Hadi di hadapannya. Dan tanpa dia sedar ada suatu perasaan yang datang menjengah hati. Terus ingatannya melayang pada buku kecil berwarna kuning yang tersimpan elok di dalam almari.

Biar sejauh mana kita terpisah, dalam tak sedar kita akan bertemu jua.




2 comments:

  1. The end? Already?????!
    NOOOOOO!!

    ReplyDelete
  2. waaa..it does happen to me and my best friend :)

    ReplyDelete