Hey, It's Me

Assalammualaikum :)

Ana, sebuah cerita ringkas untuk semua.

Sebarang kekurangan di sana sini mohon diampunkan. Saya cuma menulis mengikut apa yang terlintas, bukanlah mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka :P


Monday 21 July 2014

Hurt


“Shah!” Aku terus melangkah laju meredah lautan manusia yang aku kira sedang sibuk menghabiskan waktu cuti mereka.

“Shah!” Sekali lagi telinga menangkap suara seseorang menanggil nama aku. Suara yang cukup aku kenali. Suara yang kalau nak diikutkan sudah hampir dua tahun tidak didengari.

“Shah!” Buat ketiga kalinya, aku menghentikan langkah. Aku berpaling ke belakang dan hampir-hampir sahaja aku berlari meninggalkan dia yang sedang berdiri dalam keadaan termengah-mengah di hadapanku.

Aku kerutkan dahi. Beberapa kali juga aku pejam-celikkan mata. Tak percaya dengan apa yang ada di hadapan aku tika itu. Mimpi? Aku cubit lengan kananku. Sakit. Maka, ini bukan mimpi. Tak. Aku tahu ni bukan mimpi tapi… kenapa dia ada di sini?

“Shah.” Sekali lagi nama aku diseru. Lembut sahaja namaku meniti dibibirnya. Masih sama seperti waktu dahulu. Lembut dan lenggoknya masih juga sama. Dan rasa rindu perlahan-lahan datang memenuhi rongga badan.

Aku tarik senyum antara jadi dan tidak. Entah. Aku tak tahu reaksi apa yang perlu aku pamerkan pada dia yang sedang merenung dalam-dalam wajah aku. Pandangan yang tak tahu untuk ditafsirkan.

“Vivi.” Aku menyebut namanya. Dan tika itu entah perasaan apa yang menyelinap masuk memenuhi seluruh organ badan aku. Antara takut, tak percaya, marah, gembira, rindu dan entah apa-apa lagi perasaan. Semuanya bercampur aduk.

Dia menarik senyuman nipis. Senyuman yang sama dengan lesung pipit di pipi kirinya. Senyuman yang membuatkan aku tak tidur malam. Senyuman yang selalu dibawa bersama ke dalam mimpi.

“Awak nak cepat ke?” Soal Vivi dengan wajah serba salah. Mungkin dia serba salah kerana menahan aku yang tadinya berjalan langsung tak pandang kiri kanan macam terkejarkan sesuatu. Mungkin. Atau dia rasa serba salah sebab meninggalkan aku untuk tempoh dua tahun. Entah. Aku tak tahu.

Aku menggelengkan kepala. “Tak.” Tangan kanan mula mengurut pangkal tengkuk. Habit tiap kali aku tak tahu nak cakap apa lagi. Tiap kali berhadapan dengan Vivi, aku jadi kelu. Aku yang boleh kira banyak cakap menjadi seorang pendiam tiap kali dia di depan aku. Macam sekarang.

Wajah serba salahnya berganti dengan wajah lega dan senyuman itu. Senyuman yang mempamerkan lesung pipitnya. “Saya curi masa awak boleh?” Soalnya lembut.

Curi masa aku? Masa apa yang dia nak curi lagi? Dua tahun yang dia menghilang tu, dia tak nak ganti ke? Ganti dengan berikan aku penjelasan? “Lama ke?” Soalku dengan kening terjongket. Menyimpan dalam-dalam persoalan yang mula datang mengasak. Rasa marah, kecewa juga diperuk sedalam mungkin.

Hujung rambutnya dipintal-pintal. Habit seorang Vivi tiap kali dia teragak-agak. Antara habit dia yang aku suka sebab dia nampak comel apabila berbuat macam tu. “Lama dan tak lama. Mungkin.” Dia tunduk menekur lantai.

“Awak dah makan?”

Kepalanya digelengkan sebelum kepala itu kembali ditundukkan ke bawah. Merenung lantai.

Aku menghela nafas panjang. Shah, bertenang. Mungkin, dua tahun lepas tu ada penjelasannya. Entahlah. “Kita pergi makan? Sambil tu bolehlah kita erm… berbual.” Cadangku.

Tak tahu kenapa mudah sangat dia memberi peluang kepada gadis di hadapannya. Peluang untuk apa Shah? Peluang untuk dia jelaskan semuanya? Atau peluang untuk kau dan dia kembali bersama? Hah! Ada lagi ke peluang tu?

“Tak apa ke?”

Giliran aku pula menggelengkan kepala. Bibir cuba menarik senyuman untuk menyedapkan hatinya. “Tak apa.”

Wajah Vivi direnung lama. Ada sesuatu pada seraut wajah itu yang sukar untuk ditafsirkan.

****

Jus oren dihirup perlahan-lahan sambil sesekali pandanganku mencuri pandang ke arah Vivi yang sedang memusing-musingkan straw di dalam gelas tinggi. “Shah.” Vivi bersuara memecahkan tembok kebisuan di antara mereka.

Sejak 10 minit yang lepas, masing-masing lebih selesa membuat hal sendiri. Suasana di restoran itu juga tenang. Tak ramai orang. Mungkin sebab restoran yang mereka pilih ni agak terperosok sedikit jadi tak ramai yang perasan. Entah. Tak kisahlah. Apa yang perlu dikisahkan sekarang adalah gadis di hadapanku.

“Awak hilang ke mana?” Aku menyoal tanpa memandang wajahnya. Dan aku tak sanggup untuk memandang wajahnya tika itu.

Vivi menarik nafas dalam. “Saya… minta maaf.”

“Dua tahun awak menghilang. Dua tahun awak pergi tanpa khabar berita. Dua tahun saya tunggu awak. Dua tahun, Vivi.” Luahku tanpa dapat lagi aku berselindung. Dua tahun aku dibiarkan dalam teka-teki. Dua tahun aku mencari salahku di mana.

“Saya minta maaf. Shah…”

“Awak ke mana?” soalku tidak mempedulikan dia yang cuba berkata sesuatu. Mataku sudah pun bertentang mata dengan sepasang mata bundar milik Vivi. Mata yang berjaya mencairkan hati lelakiku yang dikatakan beku macam ais.

“Untuk dua tahun lepas, saya nak minta maaf. Maaf sebab pergi tanpa berita. Saya…” Ayatnya mati disitu. Dan aku lihat ada air mata yang bertakung ditubir matanya.

Jangan menangis. Jangan. Sebab kalau dia menangis, aku dengan mudahnya akan melupakan segala apa yang dia lakukan. Dan dengan mudahnya aku memaafkan. Aku melarikan pandanganku ke arah meja yang terletak tidak jauh dari meja yang diduduki aku dan Vivi.

“Awak patutnya telefon saya. Paling tidak pun mesej saya. Kalau pun awak dah tak nak teruskan hubungan ni, awak patut beritahu saya.” Ada nada terkilan dihujung ayatku. Ah, siapa saja yang tidak terkilan jika ditinggalkan tanpa penjelasan?

“Bukan macam tu.” Tukasnya lemah. Perlahan sahaja suaranya menerjah gegendang telinga. Sepertinya ayat itu sememangnya hanya untuk pendengaranku semata.

“Jelaskan pada saya, Vivi. Awak tahu tak dua tahun saya cari awak? Dua tahun saya rindukan awak. Dua tahun tanpa awak.” Aku menghela nafas panjang. Cuba mencari cebisan kekuatan. “Dua tahun bukannya sekejap.” Tambahku lagi.

Tangan kanan meraup muka. Aku merenung lama wajahnya yang sedang tunduk merenung jari. Bukanlah niatku untuk menambahkan rasa serba salahnya. Aku cuma mahukan penjelasan. Hanya itu. Aku tak mengharapkan lebih. Cukuplah penjelasan tidak kisahlah panjang atau pendek untuk tempoh dua tahun dia menghilang.

“Antara kita…”

“Antara kita apa, Vivi?” Potongku sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya. Dan aku kira dia tiada niat pun untuk menyambung terus ayatnya itu. Hanya membiarkan ia tergantung setakat itu.

“Antara kita bukan semudah tu.” Dia menghabiskan ayatnya dengan nada tersekat-sekat. Seperti ada sesuatu yang menghalangnya untuk meluahkan. Seperti ada suatu bebanan yang dipikulnya.

“Jelaskan pada saya.” pintaku lembut. Aku berharap sangat kali ini, dipertemuan ini aku diberikan penjelasan. Tidak dibiarkan tanpa arah. Gelap. Kosong.

Vivi mengeluh lemah. Lama dia memandang ke arahku. “Shah…” Panggilnya lembut. Sama macam dahulu. “Percayalah tak pernah sikit pun perasaan saya terhadap awak berubah.” Dia menarik nafas dalam.

Aku hanya memerhati. Menunggu butir bicara seterusnya dari bibir itu. Menanti penuh sabar kata-kata yang bakal keluar dari celahan bibir itu.

Juntaian rambutnya disebak ke belakang. “Papa…” Ayatnya mati di situ. Dia memandangku dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan.

“Papa awak tak sukakan saya.”

Vivi menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Bukan macam tu. Papa… papa dah terima awak. Mungkin tak banyak tapi dia boleh terima awak.” Kepalanya tunduk. Tidak lagi memandang wajahku.

“Jadi, kenapa?” soalku separuh merayu. Aku terlalu penat bermain teka-teki. Aku sudah penat mencari punca salahku di mana sehingga dia tergamak membiarkan aku bersendirian.

“Perasaan saya pada awak tak pernah berubah.” Jeda. “Dan tak mungkin berubah.”       

“Saya tak faham.” Sungguh, aku semakin keliru. Permainan apakah yang sedang Vivi hadapkan pada aku. Aku hanya mahukan penjelasan. Jika perasaannya tidak pernah berubah jadi kenapa dia menghilang? Dua tahun.

“Saya sayangkan awak.”
                
“Dan kalau benar awak sayangkan saya kenapa mesti awak pergi? Kenapa? Apa salah saya pada awak? Apa yang saya dah buat sampai awak hokum saya macam ni?” Soalku bertalu-talu. Aku merenung tangannya di atas meja. Mahu sahaja aku capai tangan itu dan menggenggamnya erat. Vivi… saya tak faham.

“Antara kita tak semudah itu.”

“Kenapa?”

Vivi mengukir senyuman nipis. Jelas lesung pipitnya. “Awak akan faham.” Jeda. “Maaf curi masa awak. Saya kena pergi. Bye.”

Vivi bingkas bangun dari duduknya. Langkah kaki diatur perlahan-lahan meninggalkan aku yang masih cuba mencerna setiap patah perkataan yang baru aku dengar. Dan aku perasan, pada satu tempoh, Vivi berhenti berjalan dan memandang ke arahku, mengukir senyuman terakhir sebelum kembali melangkah. Meninggalkan aku untuk selamanya.


      
p/s : Masih tak tahu nak sambung apa untuk kisah yang tergantung ini. Kalau rajin, sambung. Kalau tak, macam nilah :P

      

No comments:

Post a Comment